Wednesday 28 January 2015

Amnah Syaffiyah (Bahagian 3)

Teks dan foto : Rozie Wahid

Matanya yang sememang sudah kecil makin dikecilkan apabila bilah-bilah cahaya matahari mengena wajahnya yang polos.
Saya bertanya, “Amnah buat apa dekat situ?”
“Amnah nak pergi raya tapi semua orang belum siap, lambat betul.” Jawab Amnah sambil memuncungkan mulutnya. Kami berkumpul di homestay, Batu Pahat bagi menyambut  Hari Raya Aidilfitri 2013.

Usia Amnah sudah pun menganjak 4 tahun ketika itu. Kelincahannya sering mendapat perhatian. Namun pagi itu saya terpandang sesuatu yang pelik pada Amnah. Kenapa wajahnya ada kesan biru lebam dari dahi hingga ke hidung. Terhantuk kata ibunya ketika saya bertanya. Mereka akan bawa Amnah ke hospital seusai sambutan hari raya nanti.

Panggilan telefon yang saya terima dari ibu Amnah pagi itu amat mengejutkan saya. Amnah dimasukkan ke DEMC, Shah Alam. Tanpa membuang masa saya terus bergegas ke sana. Dalam perjalanan saya hanya terbayangkan keadaan Amnah yang lemah terbaring di atas katil hospital. Rasa sebak menular ke seluruh ruang hati.

Tangan saya sudah hampir memegang tombol pintu tetapi suasana riuh di dalam bilik ward menghairankan saya. Laju sahaja kaki saya melangkah ke dalam kerana hati tidak sabar berjumpa Amnah. Saya hanya dapat menggelengkan kepala ketika mata terpandang Amnah yang sedang turun naik katil, sedang ibunya bising memarahi. Rupanya Amnah masih aktif dan sukar untuk duduk diam.

 
     
Apa yang mengejutkan saya adalah keadaan wajah Amnah yang semakin hitam kebiruan. Menurut kata ibunya, Amnah telah didiagnosis menghidap sakit yang dinamakan Idiopatik Trombositopenia Purpura (ITP). Amnah ditukarkan ke PPUM untuk mendapatkan rawatan lanjut dari doktor pakar kanak-kanak. Apa itu penyakit ITP? Jari jemari saya mula google untuk mencari jawapan.

ITP adalah suatu penyakit pembekuan darah dan darah Amnah tidak mempunyai platelet yang cukup. Jika jumlah bacaan normal adalah 150 juta per mililiter darah tetapi paras bacaan darah Amnah hanya kiraan 2 – 4 sahaja. Amnah mempunyai jumlah platelet yang sangat sedikit dan akan mudah mengalami perdarahan yang sangat lama apabila mengalami kecederaan. Doktor pakar juga beritahu yang Amnah ditahap kronik. Penyebab penyakit ini masih belum dikenal pasti. Amnah segera diberikan ubat untuk membekukan darah, namun komplikasi ubat itu menyebabkan berat Amnah semakin naik hingga Amnah sendiri tidak selesa dengan keadaan dirinya.

    
Segalanya berubah tiba-tiba, siapa sangka Amnah mendapat penyakit yang agak asing bagi kami. Besar betul ujian yang Allah berikan pada ibu ayahnya. Kami tertanya-tanya tidak ada jalan untuk Amnah kembali sihat. Doktor hanya memberi beberapa cadangan iaitu pemeriksaan darah melalui pemeriksaan sum-sum tulang belakang. Selain itu perlu mengurangi produksi antibodi dan destruksi trombosit, serta meningkatkan dan mempertahankan jumlah trombosit.

Doktor pakar mulai memberi amaran agar Amnah tidak melakukan aktiviti lasak yang boleh mengakibatkan lebam atau berdarah. Doktor juga memberi bayangan keadaan Amnah dan kemungkinan yang bakal berlaku.

Menitis air mata saya apabila memandang Amnah yang aktif tanpa duduk diam. Apalah yang dia tahu tentang keadaan dirinya. Dia hanya anak kecil yang tidak tahu apa-apa selain dunia kanak-kanaknya. Mata saya berkalih pada wajah ibunya yang sayu, namun dalam kepayahan ibu harus kuat di depan anak. Adik saya mohon kami semua memanggil Amnah dengan nama Syaffiyah kerana nama itu bermakna penawar. Moga setiap kali kami memanggil namanya adalah berserta doa agar Allah memberi penawar untuk penyakit yang dialami oleh tubuh kecil itu. Ibu terpaksa memberhentikan segala akiviti di sekolah seperti tekwando untuk mengawal keadaan tubuhnya yang mudah lebam. 

Melihat tubuh Syaffiyah yang mudah lebam kerana dia terlalu aktif. Melihat juga dia sering mengadu sakit kepala, lenguh badan dan loya akibat dari simptom penyakitnya benar benar menyayat hati seorang ibu. Seperti biasa ibu melayan sahaja kerenah anak. Selagi ada hayat, ibu akan sentiasa berada di samping Syaffiyah. Memastikan Syaffiyah tidak keseorangan mengharunginya.
  
Ibunya ingin selalu berada di samping Syaffiyah ketika Syaffiyah melangkah ke sekolah, ke Universiti, ketika hari pertama Syaffiyah bekerja, ketika Syaffiyah menjadi raja sehari. Ibu ingin mendandan Syaffiyah pada hari pernikahanya, ibu ingin merangkul cucunya. Namun, persoalannya adakah perancangan ibu dan perancangan Allah selari. Ibunya sentiasa berdoa agar dia mampu berbuat semua itu demi untuk satu satunya anak perempuan yang dikasihi. Moga Syaffiyah cepat sembuh dan membesar dengan sihat. Aamiin ya rabbal'alamin.


                        

4 comments:

  1. Aamiin ya Rabb atas semua doa2 yg baik utk Amnah Syaffiah.
    T.kasih bonda..kini Amnah Syaffiah berumur 9thn. Alhamdulillah kami telah temui cara yg sesuai utk bantu puteri tunggal kami.Semoga Amnah Syaffiah membesar dgn sihat berjaya bahagia dunia akhirat.aamiin 💗💗

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum. Puan. Apa khabar anak puan skrg ya? moga anak puan sihat selalu. Puan jika x keberatan, boleh ke puan berkongsi cara/ rawatan yg membantu anak puan menghadapi ITP ini? terima kasih puan. emel sy nhidayah2312@gmail.com

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum puan..kalau tak keberatan ,boleh share cara yg sesuai utk bantu tu mcmana?ank sy umur 2tahun baru disahkan mengidap ITP November lepas.. bacaan platelet masa mula² taw tu cuma 3..sekarang dah 2x masukkan IVIG.. platelet terbaru 54.. dia pon macam syaffiah ,sangat aktif xpadan gegirl��.. risau,tp apalah yg dia taw selain dr main...

    ReplyDelete