Tuesday 16 February 2016

Harbin - Salju di hati (2)

Teks : Rozie Wahid

Ada atau tidak sesiapa yang sedang membaca entri saya ini pernah menjejakkan kaki di Harbin, China. Kenangan yang saya coretkan sepanjang saya menetap di China adalah lebih kurang 22 tahun yang lalu. Saya cuba mengimbau kembali walaupun tidak semua dan bukan juga secara terperinci. Alhamdulillah saya masih menyimpan semua gambar-gambar kenangan untuk rujukan jika saya terlupa. InsyaAllah akan saya kongsikan gambar-gambar tersebut yang mana perkongsian adalah terhad kerana keadaan belum berhijab.

            Baiklah kita berbalik kepada pengalaman di Harbin. Seusai saya bersarapan di hotel bersama encik suami dan dia mulai bergerak ke pejabat. Saya didatangi oleh seorang wanita yang ketinggian lebih dari saya. Pastinya dia wanita yang tinggi kerana saya sudah dikira tinggi juga. Raut wajahnya persis wanita arab, berhidung mancung, berkulit putih susu bersama senyuman. Ms Lin memulakan dengan tunduk hormat dan mengenalkan dirinya. Oleh kerana saya tidak fasih berbahasa cina, malah agak sukar memahami dialek cina yang dipertuturkan, dia lebih mudah menggunakan bahasa inggeris. Ia juga kedengaran tidak begitu bagus tetapi cukup sekadar kami memahami sesama sendiri.

            Saya dibawa berjalan sekitar pusat membeli belah Harbin. Ia tidak mengagumkan saya kerana saya tidak memerlukan apa-apa barangan musim sejuk untuk dibawa balik ke Guangzhou. Setiap kali masuk ke gedung membeli belah, saya harus melalui bidai plastik yang tebal. Fungsi bidai plastik itu untuk menghalang angin sejuk masuk ke dalam bangunan. Jika di Malaysia saya selalu melihat bidai plastik itu di bilik sejuk beku sahaja bagi menghalang udara sejuk keluar atau haba cuaca panas masuk ke dalam dan mengekalkan suhu bilik sejuk beku. Tentunya bilik itu untuk menyimpan sayuran di pasar Selayang tempat syarikat saya meyimpan sayur kobis bulat.

            Kami berjalan agak jauh, keluar masuk gedung membeli belah. Jari kaki mula sudah tidak berasa akibat cuaca yang semakin sejuk, salji dijalanan semakin tebal. Diberitahu suhu ketika itu adalah -40ÂșC. Perut pun sudah bernyanyi keroncong, ms Lin terus menarik tangan saya sambil menunjuk kedai makan, KFC tidak jauh dari kami berdiri. KFC di Harbin? Adakah sama dengan KFC di Malaysia? Jawapannya memang taklah. Tidak ada satu pun yang sama kerana mereka menyediakan mengikut selera tempatan.

            Usai makan untuk mengisi perut, saya dibawa melihat keindahan bangunan. Di situ mata saya terpegun memandang bangunan kubahnya yang sangat cantik biarpun kelihatan lama. Hati terdetik, cantiknya masjid ini. Namun ms Lin memberitahu itu adalah bangunan gereja christian ortodoks. Oleh kerana Harbin bersebelah dengan Rusia, sememangnya bangunan banyak yang terpengaruh oleh reka bentuk Rusia. Tidak mustahil juga rakyat tempatan ramai yang kacukan Cina Rusia.

Saya segera membeli menutup telinga, walaupun kepala telah saya tutup namun telinga masih terasa hendak tanggal akibat kesejukan. Jari jemari kaki juga sudah kebas, tangan usah diceritakan. Ms Lin segera menghantar saya pulang ke bilik hotel dan menyediakan minuman yang panas agar saya lebih selesa. Sebenarnya saya lebih suka berada di luar bangunan kerana udaranya lebih segar berbanding di dalam bilik hotel yang berbekalkan heater yang menyenangkan tapi menyebabkan kulit kering dan gatal. Macam-macam lah kerenah saya ni.


Bersambung lagi di entri seterusnya. 

No comments:

Post a Comment