Tuesday 16 February 2016

Harbin - Salju di hati (3)

Teks : Rozie Wahid

Encik suami membuat saya terkejut apabila memberitahu selepas makan malam dan berjalan sebentar melihat suasana malam, kami akan pergi swimming. Swimming? Saya membeliakkan mata. Dalam cuaca sejuk -40ÂșC kami akan swimming? Encik suami tersenyum meleret melihat saya yang kebingungan, pasrah dan terpaksa rela.

            Berjalan berduaan di dalam cuaca yang sejuk mengila ini tidak begitu terasa kesejukan. Kami meyusuri jalan sambil makan buah yang dicelup dengan manisan dan dicucuk seperti satay. Rasanya sedap tetapi kemanisannya yang saya tidak tahan kerana saya agak kurang gemar manis terlampau. Para peniaga yang menjual berbagai makanan di sepanjang jalan itu pasti alah bias tegal biasa dengan cuaca sebegini. Walau pun cuaca yang sejuk dan salji mulai turun lagi, mereka tidak berhenti menjual makanan yang panas. Kami juga tidak ketinggalan untuk makan ubi keledek bakar. Teringat di kampung dulu semasa kecil, abah akan membakar ubi kayu di kebun buahan sambil melihat mak membakar daun-daun kering. Betul-betul nostalgia bila makan ubi keledek bakar. Rasanya memang tidak sama tetapi sedap sekali.

            Kami berjalan menyusuri pelabuhan Harbin, di situ encik suami menunjuk pada saya betapa dekatnya Korea Utara. Mata saya jadi lebih segar apabila melihat kawasan peniaga menjual barang kemas. Saya adalah peminat batu jed. Encik suami begitu perihatin lalu menghadiahkan gelang jed yang cantik. Memang cantik tetapi apabila hendak disarung ke tangan perlu menahan sakit yang teramat. Mereka menggunakan losyen sebagai pelincir. Apabila tersarung sahaja bermakna tidak boleh dikeluarkan kecuali pecahkan ia. Saya tersenyum puas bila melihat gelang jed sudah tersarung. Perempuan memang begini, beauty is pain.

            Menghampiri hotel, tiba-tiba encik suami membuat cadangan yang pelik apabila mengajak saya makan ais cream. Saya ikutkan kerana tidak mahu merosakkan suasana. Kami makan sambil ketawa kecil kerana kesejukan tapi nyaman, dan pastinya perasaan itu tidak mudah untuk hilang dari ingatan.

            Setiba di lobi hotel, beberapa orang staf dan isteri mereka sudah pun menanti kami untuk meneruskan aktiviti swimming. Oleh kerana kami tidak bersedia dengan pakaian renang, kami ke kedai berdekatan lobi untuk membeli pakaian yang bersesuaian. Encik suami terus ke bahagian persalinan lelaki dan berjanji akan berjumpa saya di kolam renang nanti. Saya dan beberapa orang wanita lain melangkah ke bahagian persalinan wanita. Saya diberi kunci loker untuk menyimpan pakaian, kasut dan barangan berharga.

            Biji mata ligat bergerak ke kiri ke kanan mencari di mana harus saya menukar pakaian. Saya terkesima melihat ramainya wanita yang tidak ada seurat benang tanpa segan silu berjalan mundar mandir sambil berborak bersama teman. Saya tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan dengan keras. Ms Lin menghampiri lalu ditarik tangan saya ke satu sudut. Dia amat memahami apa yang sedang bercelaru dalam kotak fikiran saya ketika itu. Dikepung saya dengan kain tuala yang agak besar untuk saya menukar pakaian. Selesai satu bab, kata hati saya.

            Mulut saya tidak habis membebel pada suami kerana apa yang saya baru lalui tadi amat memalukan. Dia hanya tersenyum manis menunjukkan sebaris gigi yang putih rapi. Saya mula melihat sekeliling kolam renang yang bersaiz agak besar dan di tepi kolam ada berbaris jakuzi air hangat untuk pengunjung duduk berborak selepas berenang. Suhu air tidak begitu sejuk dan menyegarkan. Pengalaman yang manis dan melucukan apabila diingat semula, namun ketika itu saya agak stres juga ketika untuk menyalin pakaian semula selepas berenang. Ternyata sifat malu yang ada pada saya amat tinggi hingga tidak sanggup melihat walaupun sejenis. Lain budaya lain caranya.


Kita sambung lagi nanti ya. 

No comments:

Post a Comment