Tuesday, 16 February 2016

Harbin - Salju di hati (5)

Teks : Rozie Wahid

Kepuasaan bermain salji, mencuba makan salji, belajar meluncur dan bermain ice skating di atas tasik beku di Harbin adalah satu pengalaman yang amat sukar untuk saya lupakan walaupun ia telah lebih 20 tahun berlalu.

            Malam itu kami di bawa ke satu kawasan yang agak besar lagi. Di situ satu festival sedang berlangsung. Ia adalah ice carving iaitu ais diukir dengan pelbagai bentuk. Dari sekecil bentuk binatang hingga sebesar kawasan meluncur yang cantik. Kami melusuri lorong ke lorong untuk melihat keindahan ukiran ais yang disertai oleh pengukir ais dari seluruh dunia. Di dalam ais yang diukur itu diletakkan setiap satunya lampu yang berwarna warni. Ukiran itu kelihatan lebih cantik apabila dilihat di dalam kamera.

            Saya terlompat kegembiraan apabila encik suami menunjuk bendera Jalur Gembilang terlekat pada ukiran ais. Perasaan bangga dan sebak serta merta memenuhi ruang dada, hampir saya mengalir air mata melihat ukiran yang diukir oleh rakyat Malaysia. Pandainya mengukir walaupun di Malaysia tidak ada salji, kata hati saya. Jika sekarang ia bukanlah sesuatu yang menakjubkan apabila adanya i-city.  Namun ketika itu saya seolah berasa untuk memberitahu semua orang di situ yang saya dari Malaysia dan ukiran itu milik kami rakyat Malaysia. Tergeleng-geleng kepala encik suami melihat gelagat saya tetapi saya biarkan sahaja.

            Kami terus berjalan hingga ke penghujung lorong sambil mengambil gambar sana dan sini. Tidak ketinggalan juga saya mencuba meluncur dari ukiran ais yang dibuat setinggi bangunan dua tingkat. Duduk beralaskan papan kayu tebal sambil berpegang pada pemegangnya laju turun berpusing hingga ke bawah. Rasa gayat sudah tidak ada lagi atas latihan meluncur siang tadi. Kawasan festival agak besar juga untuk kami habis menerokai keseluruhan.

            Encik suami beberapa kali mengingatkan saya untuk menutup muka kerana suhu semakin malam semakin turun. Diramas beberapa kali tangan saya, walaupun bersarung tangan masih terasa sejuk yang menyengat. Saya minta untuk makan bubur sahaja untuk makan malam kerana selera agak kurang. Satu badan macam baru dibelasah, jari kaki, telinga dan tangan sakit kebas. Mungkin jika dicucuk jarum pun belum tentu saya rasa apa-apa walaupun darah sudah mengalir. Ini semua akibat kesejukan dan ia betul-betul terasa apabila kami sampai di bilik hotel. Namun. Pengalaman hari ini walaupun keletihan dan kesakitan tetapi ia adalah keletihan yang amat berbaloi.


            Apabila kami berlepas meninggalkan Harabin, saya berkata dalam hati suatu hari nanti saya akan datang lagi.

No comments:

Post a Comment