Berdiri di pintu masuk
hotel sambil mendongak kepala ke langit. Agak lama juga saya tidak memandang
langit biru dan pancaran matahari. Kelihatan cuaca yang kelam dan salji turun
bak kapas halus menutupi segalanya.
Hari ini kami bercadang ke suatu tempat yang istimewa.
Senyuman tidak lekang dari bibir kerana encik suami akan menemai saya sehingga
malam menikmati aktiviti yang paling saya tunggu-tunggu. Berpakaian lengkap,
kami sampai di kaki pergunungan. Bersarapan dahulu di sebuah restoran yang
ruang hiasan dalaman dipenuhi dengan segala macam kepala binatang yang diawet. Namun
seluruh ruang dipenuhi oleh para pengunjung yang rata-rata adalah bangsa cina.
Saya seorang agaknya yang berbangsa melayu, bisik hati.
Aktiviti pertama adalah menaiki kuda yang berbulu lebat
menutupi seluruh badan, pastinya kuda-kuda di kawasan bercuaca sesejuk ini amat
memerlukan bulu yang tebal bagi meneutralkan suhu badan. Saya memilih kuda yang
saya suka dan mesra apabila kami saling berpandangan. Menunggang kuda dalam
cuaca sebegini sebenarnya menambahkan rasa sejuk, namun untuk berjalan jauh
saya pasti tidak larat. Di penengah jalan kami berhenti di satu kawasan mata
air. Pemandu pelancung memberi ruang dan peluang untuk kami menjamah dan
merasai mata air yang tetap mengalir walaupun dalam cuaca sesejuk -40ÂșC atau
lebih rendah lagi. Kekuasaan Allah yang tidak boleh kita dustakan.
Kami meneruskan perjalanan, saya terasa semakin sejuk
seakan hidung pun serasa hendak tertanggal. Kami sampai di kawasan yang agak
lapang dan kelihatan ramai pengunjung sedang bermain ski dan tidak kurang juga
ada kawasan untuk belajar bagi yang belum mahir. Encik suami menghampiri saya
lalu melekap tisu di bibir saya kerana darah sedikit mengalir akibat dari
rekahan bibir. Saya oleskan pelembab bibir sambil mengangguk kepala tandanya
tiada masalah, sambil mata memandang suami yang agak kerisauan.
Mata terpukau melihat keindahan alam yang penuh disaluti
salju dan atas rahmat itu dilimpahi kegembiran kepada setiap insan di situ.
Saya mengepal salji seperti ais kepal lalu menggigit sedikit untuk merasainya.
Saya ulurkan sedikit pada suami juga lalu berderai tawa kami tika saya
berseloroh jika saya letakkan sirap, susu, cendul dan cincau pasti rasanya seperti
ais kepal di kampung.
Seterusnya adalah percubaan pertama saya meluncur. Saya
memilih untuk berada di kalangan yang sedang belajar. Saya agak berdebar untuk
memulakan dan encik suami memberi semangat sambil dia menunjukkan caranya
dahulu. Dilambai beberapa kali sambil memanggil saya untuk turun. Saya kuatkan
hati kerana saya tahu walau bagaimana pun pasti dia ada di bawah menanti saya.
Terasa badan saya ditolak perlahan oleh tenaga pengajar lalu saya meluncur laju
dan tanpa saya sedar saya sudah jatuh terlentang. Bila mata dibuka kelihatan
encik suami sedang tertawakan saya sambil menghulur tangan membantu saya bangun
semula. Sakit badan mulai terasa apabila saya ulangi beberapa kali dan jatuh
beberapa kali juga. Saya hanya berhenti setelah luncuran baik dan saya tidak
jatuh. Menghembuskan rasa lega mission accomplised.
Kami berehat sebentar sambil menghirup sup panas untuk
makanan tengah hari. Hati begitu puas dan bersyukur diberi kesempatan merasai
nikmat ini. Bersambung lagi dientri seterusnya, nantikan.
No comments:
Post a Comment