Sunday 30 November 2014

Menetap di China (Bahagian 4)

Teks : Rozie Wahid

Kebanyakan wanita meminati barang kemas dan saya juga tidak terkecuali. Semasa remaja saya lebih suka barang kemas yang diperbuat dari perak (pure silver). Bila di awal perkahwinan, suami lebih gemar menghadiahkan barang kemas dari emas kuning. Namun bila sudah semakin dewasa kini, saya lebih suka barang kemas dari emas putih.

            Di Guangzhou dulu saya tidak memakai apa-apa barang kemas yang berlebihan. Saya hanya memakai cincin perkhawinan sahaja. Suami sering melarang saya memakai barang kemas jika ingin ke pasar. Memandangkan pasar-pasar basah yang berdekatan adalah di lorong-lorong dan mata penyeluk saku amat tajam melihat setiap pengunjung.

            Barang kemas yang saya amat gemari ketika itu adalah gelang kaki. Jika di tanah air amat sukar untuk saya mencari gelang kaki yang cantik dan mempunyai kepanjangan yang sempurna untuk kaki saya yang bersaiz agak besar. Oleh kerana, barang kemas yang dalam simpanan ketika itu ada yang tidak begitu saya gemari. Saya mengambil keputusan untuk berbuat sesuatu.

            Selang beberapa lorong dari rumah saya, ada tukang-tukang emas yang menjalankan perniagaan mengubah suai barang kemas mengikut permintaan pelanggan. Tukang emas itu hanya bermodalkan satu meja kecil dan alatan di tepi perjalan kaki sahaja. Saya memberi tukang emas beberapa bentuk cincin dan seutas gelang kaki yang dibeli dari Kuala Lumpur. Tukang emas memberi saya beberapa pilihan bentuk dan corak gelang kaki yang saya inginkan. Saya hanya perlu menunggu hingga kerja beliau selesai kerana tiada surat atau bil yang dikeluarkan bagi menentukan barang kemas itu hak kita. Penantian selama hampir 2 jam agak berbaloi apabila tukang emas menyerahkan seutas gelang kaki yang baharu. Upah untuk kerja tersebut adalah amat murah.  


            Senyuman sampai ke telinga saya pamirkan pada suami ketika menunjukkan gelang kaki yang baru diubah suai. Sekurang-kurangnya saya tidak risau akan zakat barang kemas ketika itu.  

Menetap Di China (Bahagian 3)

Teks : Rozie Wahid

Sebagai penghidap penyakit asma dan maghrain yang teruk adalah amat sukar apabila saya mula menjejakkan kaki di bumi asing. Semasa di tanah air jika diserang asma kita hanya perlu pergi ke hospital yang berdekatan dan rawatan segera diberikan. Di Guangzhou, China mempunyai hospital yang besar. Boleh pilih sama ada untuk pergi ke hospital yang memberi ubatan moden atau hospital yang menyediakan ubatan herba sepenuhnya.

Serangan asma agak kerap menyerang apabila cuaca yang kurang menentu. Saya hanya menggunakan alat pelega ‘pam ventolin’. Ada satu kejadian yang berlaku, ketika itu suhu agak rendah. Terlalu lama saya berada di dalam rumah yang dihangatkan dengan alat pemanas menyebabkan dada terasa sesak. Lalu saya menyarung pakaian yang secukupnya untuk keluar mengambil angin di tepi sungai bersebelahan rumah. Cuaca di hujung bulan 12 sememangnya sejuk. Tekak sudah beberapa hari tidak begitu selesa. Terbatuk beberapa kali ketika saya duduk di bangku menghadap sungai. Pam dihalakan ke mulut dengan harapan boleh melegakan sesak. Namun, dada terasa semakin berat lalu tangan cepat menyeluk poket jaket mencari telefon bimbit. Saya dail nombor suami dengan tangan tergetar.

            Terasa bahu disentuh dan saya mendongak kepala lalu terpandang muka suami yang rungsing. Memandang wajahnya pun sudah melegakan hati ini. Dia amat memahami keadaan saya jika asma menyerang. Dipapahnya saya ke kereta dan kami terus ke hospital besar. Saya memang tidak begitu gemar ke hospital. Biar sakit kuat macam mana pun saya cuba mengelak untuk dirawat di hospital. Suami pula sering tidak mahu menerima alasan yang diberi, dia hanya mahu saya segera sembuh.

            Sebab utama saya tidak suka ke hospital kerana untuk rawatan asma seperti menerima oksigen dari tong oksigen yang besar itu adalah perkara biasa. Menerima ubat ‘drip’ selama beberapa jam di kerusi empuk dalam cuaca yang sejuk, itu juga perkara biasa. Namun, setiap kali saya sampai sebelum doktor memberi oksigen dan drip, doktor akan memberi suntikan. Bagi saya untuk mendapatkan suntikan itu juga perkara biasa tetapi cara doktor memberi suntikan yang saya tidak biasa.

Di sana tiada sekatan tirai di antara doktor dan pesakit yang berada di meja bersebelahan. Kita akan nampak di sisi meja doktor selalunya ada satu kerusi kayu yang tinggi. Kerusi kayu itu adalah untuk kegunaan pesakit yang akan diberi suntikan. Pesakit hanya perlu duduk menyenget sebelum menurunkan sedikit seluar, mendedahkan kawasan pinggul. Terlalu malu bila disuruh berbuat demikian, biar dalam keadaan sakit tetapi saya tetap berasa malu sangat. Terasa semua mata melihat saya walaupun sebenarnya tidak.


            Di sudut hati yang paling dalam, hati saya sering melafaskan betapa hospital kita di tanah air cukup menjaga tata cara mengikut tradisi dan agama.

Friday 21 November 2014

Pengalaman Di Hong Kong

Teks : Rozie Wahid

Pada tahun saya menjejakkan kaki di Hong Kong adalah ketika negara itu masih di bawah jajahan British. Proses negara China mengambil alih hanya berlaku beberapa tahun selepas saya berpindah ke Guangzhou, Guangdong, China. Pesawat MAS yang saya naiki mendarat di HK International Airport yang lama sebelum airport itu di pindahkan ke sebuah pulau buatan. Keadaan HKIA sekarang amat berbeza dengan masa saya mula-mula sampai ke sana. Namun, saya sempat juga merasa apabila HKIA baharu siap pembinaanya. Pembinaan KLIA adalah lebih awal dari HKIA yang baharu. Dalam tubuh ini penuh darah anak Malaysia, sehebat mana pun HKIA dibina namun, KLIA juga yang saya kagumi.

   Saya ingin menyentuh tentang kediaman saya dalam entri kali ini. Paling saya suka adalah kebersihan seluruh bangunan. Dari pintu utama, jaringan pengawal keselamatan dan hingga ke pintu rumah semuanya adalah menggunakan ‘Steel’. Itu yang menyebabkan ianya kelihatan kemas, bersih dan mewah. Saya tinggal di aras 11 dan apartment yang tiada balkoni itu menghadap Mong Kok Train Station. Jika ingin ke Shenzhen, China saya hanya perlu menaiki keretapi yang merentasi beberapa daerah.

   Mengenai rumah yang saya diami selama setahun dua bulan itu mempunyai dua bilik tidur yang luasnya cukup untuk sebuah katil bujang yang agak kecil dan almari ‘built in’. Tiada beza sama ada bilik utama atau pun bilik biasa. Bilik mandi hanya sebuah yang terletak di sebelah dapur. Keluasan bilik mandi hanya boleh masuk seorang sahaja dengan sinki yang kecil serta ’shower’ di sebelahnya. Saya ada kesukaran bila berada di dapur kerana keadaannya yang sempit yang hanya seorang sahaja boleh berada di situ pada satu masa. Ruang tamu dan ruang makan adalah di tempat yang sama.

   Pada hari pertama saya melangkah masuk ke rumah itu, hati saya menjerit untuk pulang ke Malaysia. Terbayang rumah mak yang luas di kampung. Tergambar di ruang mata seluruh rumah di apartment ini hanya sebesar ruang tamu mak sahaja. Sesak dada apabila memikirkan perbandingan.

   Saya kumpulkan semangat, saya perlu berpijak di bumi yang nyata kerana inilah kediaman baru saya dan sesukar mana sekali pun, akan saya harungi demi sebuah impian. Sekian lama saya sudah menyimpan impian untuk keluar dari Malaysia dan menetap di mana-mana titik di atas peta. Takdir saya diaturkan untuk berada di Hong Kong.

   Perjalanan takdir itu akan saya titipkan di entri seterusnya.

Monday 17 November 2014

Braces A.K.A Pendakap Gigi

Teks dan foto : Rozie Wahid

Semasa saya kecil sering tertanya kenapa pertumbuhan gigi tidak sekata dan tersusun rapi seperti orang lain. Salah memberus gigi kah? Atau betul apa yang sering diperdengarkan oleh orang sekeliling bahawa ia terjadi kerana ketakutan saya untuk mencabut gigi. Saya ingin mengubahnya lalu saya mempertingkatkan tahap kebersihan gigi. Doktor gigi menyarankan saya untuk memakai pendakap gigi. Melalui doktor baru saya tahu kenapa susunan gigi saya tidak tersusun rapi. Rupanya bukan kerana saya takut mencabut gigi tetapi kejadian rahang saya yang agak kecil dan sempit hingga tidak mencukupi ruang bagi gigi untuk tumbuh rata dan cantik. Menurut doktor lagi jika saya tidak perbetulkan, masalah gigi akan saya alami lagi seperti sebelum ini.

   Pada Oktober 2012 saya mengambil keputusan menggunakan khidmat braces a.k.a pendakap gigi bagi menjalankan tugasnya menarik gigi untuk berada di kedudukan yang sepatutnya. Saya memilih pendakap gigi yang dipanggil Daemon Braces. Kos untuk pendakap ini agak tinggi. Klinik pula tidak jauh dari rumah untuk saya berulang bagi mendapatkan rawatan pada setiap minggu. Temu janji dibuat seminggu sebelum tarikh pemasangan. Hati merasa agak gusar dengan perubahan yang bakal saya tempuhi untuk jangka masa yang agak lama. Saya perlu memakai braces selama 2 hingga 3 tahun bergantung kepada pergerakan gigi. Saya letak segala keyakinan dan kepercayaan pada doktor pada hari itu. Debaran jantung saya bergerak normal apabila doktor memasang dengan begitu teliti dan tidak sampai sejam, besi itu sudah pun melingkari di seluruh gigi.

                                  













     Pada September 2013 saya diberitahu oleh doktor, gigi saya perlu dicabut untuk memberi ruang kepada gigi lain berada di kedudukan yang betul. Bukan satu batang, bukan juga dua batang tetapi doktor perlu mencabut 4 batang gigi yang paling kukuh iaitu gigi yang ke lima. Gigi ke lima adalah gigi di sebelah gigi taring. Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu, kalau gigi yang sakit dan bergoyang dicabutnya apalah sangat. Namun, gigi yang kukuh itu dipilih kerana kegunaannya tidak begitu penting berbanding yang lain.

   Doktor akan mencabut satu gigi diselang seminggu sebelum mencabut yang seterusnya. Oleh kerana semangat saya yang kuat untuk mempercepatkan pergerakan gigi, saya meminta doktor menyegerakan cabutan. Degupan jantung terasa laju sementara menunggu ubat bius yang baru disuntik ke gusi gigi sebelah kanan. Mata kami bertemu dan saya masih boleh melihat mata doktor tersenyum, dengan lafas bismillah doktor mencabutnya. Selang seminggu doktor mengulangi cabutan gigi atas sebelah kiri. Seminggu selepas itu saya sendiri meminta doktor untuk mencabut 2 gigi di bawah pada hari yang sama. Terasa agak membuang masa menunggu dari minggu ke minggu untuk selesaikannya.

  Sebelum saya memakai braces ini ramai rakan di grup 'Malaysian Braces Community' mengingatkan saya tentang pemakanan. Sememangnya selepas setiap kali rawatan, untuk 3 hari kesakitan gigi akibat pergerakan yang kuat menyebabkan saya tidak boleh menggigit makanan yang keras. Bubur atau makanan yang lembut dan minuman sejuk adalah pilihan. Jika ingin menurunkan berat badan, inilah ketikanya. Ada juga yang menegur wajah saya kelihatan berbeza sedikit. Saya juga baru sedar bukan sahaja kereta banyak menggunakan aksesori tetapi dalam rawatan braces juga banyak aksesori yang perlu digunakan seperti anchor, power chains dengan pelbagai warna dan banyak lagi.

   Saya masih dalam rawatan walaupun sudah 2 tahun memakai braces. Ruang bekas gigi yang dicabut belum habis tertutup lagi. Jangkaan saya pertengahan tahun hadapan saya ingin bebas braces.

Wednesday 12 November 2014

Kesakitan gigi yang tidak boleh didustakan

Teks : Rozie Wahid

Sakit gigi geraham bongsu amat menguji kesabaran. Kata emak, orang yang sakit gigi jangan ditegur, boleh bergaduh dibuatnya. Bila setiap kali saya sakit gigi baru saya faham kata-kata emak. Denyut di gigi menjalar ke urat kepala rasa tahap kesabaran ibarat retak tunggu belah sahaja.

   Hampir setiap bulan saya akan mengalami sakit gigi geraham bongsu. Sakitnya hingga sukar untuk membuka mulut kerana kedudukan gigi tersebut di pangkal rahang. Oleh kerana tidak boleh buka mulut, saya pun akan menjadi kurang bercakap untuk dua hingga tiga hari. Suami sering mengusik, katanya tenang sikit rumah bila tidak ada orang yang membebel. Saya hanya memandang dia dari hujung mata sahaja bila dia bercakap sambil menggekek.

   Saya menahan kesakitan hampir 6 bulan. Puas suami mengajak ke hospital, namun hati saya kurang bersetuju untuk pergi ke hospital kerana saya bukannya di Malaysia ketika itu. Jika di tanah air sendiri sudah lama saya berlari untuk mendapatkan doktor gigi yang banyak melata. Namun, di Guangzhou tidak seperti di Malaysia kerana hanya hospital sahaja yang boleh memberikan rawatan. Saya agak kurang selesa dengan perkhidmatan mereka.

   Setiba di Kuala Lumpur saya tidak bertunggu lagi terus mengajak suami pergi ke klinik gigi yang berdekatan dengan rumah kami. Sesudah X-Ray didapati kedudukan gigi bongsu itu senget dan menolak gigi geraham di sebelahnya. Itu yang menyebabkan radang dan kesakitan. Beberapa kali ubat bius disuntik ke gusi untuk pembedahan kecil. Kesakitan masih terasa sedikit walaupun entah berapa kali doktor memberi ubat bius. Dalam keadaan mulut ternganga tu, saya berserah dan redha diperlakukan apa sahaja pada gigi itu, janji ia harus dikeluarkan dari mulut saya.

   Seusai kerja doktor menjahit bekas gigi yang telah dikeluarkan, saya menoleh ke kanan mencari susuk tubuh suami yang berdiri tegak berhampiran doktor. Dia memberikan senyuman dengan pandangan ‘it’s okay girl, and it’s over’ kala mata kami bertentangan. Hilang semua kesakitan.

   Kesakitan tertahan sekadar beberapa jam sehingga ubat bius hilang. Sehingga selepas maghrib saya mula terpisat-pisat kesakitan dan mencari ubat penahan sakit. Mula-mula 2 biji ubat saya lalukan di kerongkong. Selepas 15 minit lagi 2 biji dan 2 biji lagi selang 20 minit. Perut terasa lapar tetapi terbantut nafsu makan bila denyutan bekas gigi semakin mengila. Pukul 9.30 malam muncul doktor di pintu rumah, rupanya suami memanggil doktor untuk memberi suntikan menahan sakit. Dia juga tidak sampai hati melihat saya yang dalam kesakitan. Syukur Alhamdulillah saya stabil dan terus tidak sedarkan diri.

   Keadaan muka saya membengkak agak ketara dan kelihatan merah membulat di bahagian pipi kanan. Sakit sudah berkurangan dan hanya bubur yang boleh ditelan. Boleh turun berat badan kalau dibiar. Agak rugi juga balik ke Malaysia tidak dapat menikmati makanan yang lazat.

   Dengan keadaan muka bengkak sebelah itu, kami tidak dapat berlama di sini kerana harus berangkat balik semula ke China. Ketika itu Lapangan Terbang Antarabangsa di Subang. Passport di cek menggunakan kaedah lama. Paling kelakar apabila sebelum pegawai cop passport saya, mereka perlu memastikan saya adalah pemilik passport tersebut. Sekejap direnung muka saya, sekejap direnung gambar di passport. Habis puas dibelek muka saya dan gambar, hingga suami saya datang menghampiri pegawai tersebut. Dia menjelaskan yang muka saya biasanya seperti dalam gambar itu tetapi sekarang bengkang sebelah akibat cabut gigi. Berderai ketawa mereka sambil pegawai menghulurkan semula passport yang telah dicop. Saya hanya melemparkan senyuman kaku.

   Saya menghadapi masalah yang sama sebanyak tiga kali pada hari itu. Perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Hong Kong dan dari Hong Kong ke Shenzhen, China. Setiap kali itulah suami menjadi jurucakap bagi pihak saya.

   Sepatutnya saya ada 4 gigi geraham bongsu tetapi hanya satu sahaja yang sakit dan telah dicabut. Syukurlah hanya sekali perlu melalui kesakitan sebegitu.   

Monday 10 November 2014

Dugaan dari kesilapan (Bahagian akhir)

Teks dan foto : Rozie Wahid


Mata saya liar mencari makanan yang sesuai untuk bayi yang berusia 2 bulan setengah kerana tiada makanan yang sesuai untuk bayi seusia Ammar. Saya kebinggungan di antara mengikut kata doktor dan memikirkan apa pula implikasi.

   Akhirnya saya memilih makanan yang sehalus mungkin berjenama Nestum. Ammar suka apabila makan makanan pejal sebaliknya hati ibu masih sangsi adakah saya membuat keputusan yang betul. Nasihat suami, kita perlu mengikut kata doktor pakar itu kerana kami percaya dan yakin atas kepakarannya.

   Dari sehalus makanan hingga saya beralih mengikut perisa yang tersedia oleh jenama yang sama. Ammar mula makan dengan dua sudu hingga semangkuk. Pada usia Ammar 6 bulan saya beralih kepada bubur nasi bercampur sayuran yang dikisar halus. Pada bulan ke 7 dan ke 8 pula Ammar sudah mula makan bubur nasi dikisar bersama sayur dan ikan. Keadaan tubuh Ammar agak gemuk dan tegap. Pertumbuhan gigi Ammar juga agak awal ketika dia berusia 4 bulan dan semasa dia mencecah 8 bulan, kesemua gigi susunya sudah pun penuh.

   Ammar agak aktif di atas walker dan dia gemar menendang bola ketika bulan ke 7. Kemungkinan pembesaran berbeza apabila memberi makanan pejal terlalu awal. Saya sentiasa berdoa agar perut Ammar bersabar dengan tugas berat yang telah diberi lebih awal dari yang sepatutnya.

  Mata saya terkedip beberapa kali apabila doktor memberi tarikh pembedahan Ammar . Saya mencari di google, info tentang pembedahan tersebut. Dua hari sebelum kami dimasukkan ke wad, saya menonton Medix TV di tv3 mengenai pembedahan yang bakal Ammar jalani. Saya dan suami terasa agak tenang sedikit apabila dapat melihat secara lebih jelas proses pembedahan.

  Jantung saya laju berdegup sambil kaki tidak henti mundar mandir di hadapan bilik dewan pembedahan. Hampir 2 jam kami menunggu dan akhirnya misi memanggil ‘Ibu Ilham di minta masuk ke dalam bilik pembedahan dengan segera’. Hampir gugur jantung saya ketika itu, tidak pasti implikasi apakah yang terjadi hingga saya dipanggil.

   Setiba saya di bilik pembedahan, doktor memberitahu keadaan Ammar yang telah selamat di bedah. Namun, doktor memerlukan saya untuk menghulurkan jari agar Ammar dapat merasai kehadiran saya di situ. Itu juga boleh menghangatkan tubuhnya yang telah kekurangan banyak darah. Saya menghulurkan jari lalu menyentuh sedikit jari kecilnya. Segera jari jemarinya menggengam erat jari saya. Laju air mata menuruni membasahi pipi yang sedari tadi berada di tubir mata. Pelahan saya panggil namanya agar dia tahu saya berada di sisi. Keadaan Ammar ketika itu agak lemah, matanya ditutup dan seluruh tubuh kecilnya disaluti dengan alat pemanas. Segala macam dawai berselirat di tubuhnya.

   Hampir setengah jam saya berdiri membiarkan Ammar memegang jari saya. Suasana ketika itu agak sibuk, ada doktor yang bergegas meletakkan darah tambahan kerana tiub darah tadi masih tidak mencukupi. Misi pantas mengemas di seluruh dewan bedah. Kelihatan doktor pakar berada di ruang sebelah bersama suami sambil menunjukkan sesuatu. Saya pasti itu adalah sebahagian usus besar yang telah dibuang.

   Keadaan Ammar agak stabil dan misi meminta saya melepaskan jari kerana mereka perlu membawa Ammar ke ruang lain dan akan terus di hantar ke nursery. Ammar perlu berada di hospital sehingga keadaan stabil sebelum dibenarkan pulang. Saya berjumpa doktor pakar bersama suami untuk menerima penerangan penjagaan selepas pembedahan. Menurut kata doktor, appendik Ammar juga telah dikeluarkan sekali dan bahagian ususnya diperlukan untuk beberapa ujian sebelum diserahkan pada kami untuk ditanam.

   Alhamdulillah sekarang Ammar sudah pun 9 tahun. Dia amat aktif bersukan. Ammar hanya perlu menjaga pemakanan sehingga bila-bila kerana dia amat mudah terkena cirit birit. Tubuh Ammar menjadi kurus dari saat selepas pembedahan sehingga sekarang. Apa yang penting Ammar telah sihat. 

Dugaan dari kesilapan (Bahagian 2)

Teks : Rozie Wahid

Langit pagi kelihatan cerah hari itu dan saya terus menadah tangan agar Ammar selamat dan segera sembuh. Dokot pakar telah mengumumkan kepada saya dan suami yang Ammar perlu menjalani pembedahan menebuk perut untuk menjalurkan usus besar (bypass) selama beberapa bulan.

   Ammar tidur agak lena sepanjang malam kerana keselesaan perut yang telah di kosongkan dari segala kotoran. Dia perlu berpuasa sepanjang malam. Kesian saya melihat bayi yang baru berusia 18 hari terpisat-pisat mencari susu.

   Adalah tidak saya dapat bayangkan apabila perlu menyerahkan bayi kecil saya pada misi di pintu bilik dewan pembedahan. Misi sempat menghulurkan pipi kecil Ammar untuk saya kucup. Terketar bibir apabila sampai di pipinya dan saya iringi dengan doa seorang ibu agar Allah dan para malaikat menjaga dia untuk saya.

   Proses pembedahan tidak begitu lama dan Ammar telah ditempatkan di nursery dalam inkubator. Saya agak sukar untuk melihat dan sentiasa berada di sisi Ammar. Namun, saya gagahi walaupun dalam keadaan berpantang. Setiap kali terdengar suaranya menangis kelaparan, hati saya disagat sayu dan pilu.

   Ammar dibenarkan pulang dan saya dengan tiba-tiba menjadi misi terlatih. Menjaga ammar dari bayi dengan susu sahaja hingga umurnya 2 bulan setengah. Doktor mengarahkan saya memberi makanan pejal untuk Ammar mulai usianya 2 bulan setengah. Tujuannya adalah untuk Ammar segera gemuk dan memudahkan proses pembedahan membuang sebahagian usus besar yang keadaan sarafnya tidak berfungsi.

   Ujian yang paling sukar adalah hari-hari menjaga kebersihan Ammar di bahagian perut. Oleh kerana Ammar masih bayi, tidak boleh di letakkan beg plastik seperti orang dewasa untuk pembuangan najis. Kain kapas sahaja yang perlu dilapikkan di kawasan usus yang terbuka itu dan saya tutupkan dengan kain barutnya. Kebersihan perlu dijaga agar tidak ada jangkitan kuman berlaku.

   Hanya saya sahaja yang menjaga Ammar setiap kali menukar kain kapas dan membersihkan najis. Hati saya sentiasa pilu dan nyilu apabila melihat keadaan kawasan itu yang berdarah akibat najis keluar bersama cecair dan menyebabkan kulit di keliling usus itu luka. Namun, di sebalik kesakitan yang dirasa, Ammar sentiasa ketawa mengagah apabila mata kami bertentangan.

   Saya akan sambung di entri seterusnya, air mata ini masih mengalir tika menulis biarpun ia hanya menceritakan kenangan.

Sunday 9 November 2014

Menetap di China (Bahagian 2)

Teks : Rozie Wahid

Di entri yang terdahulu saya ceritakan tentang pasar kecil. Di sana memang banyak pasar kecil di lorong-lorong. Semua barangan segar di jual pada sebelah pagi dan petang. Tiada yang pelik di pasar-pasar kecil cuma kena agak berhati-hati dengan penyeluk saku.

Ada sekali penyeluk saku cuba mencuri dompet seorang mak cik yang sedang asyik membeli sayur. Oleh kerana kejadian di depan mata saya, genggaman payung yang saya pegang dengan erat seolah bersedia untuk bertindak jika ada apa-apa berlaku sebelum menegur perbuatan pemuda peyeluk saku. Dia agak terkejut kerana saya begitu berani menegur lalu dia hulurkan pisau ke arah saya. Pantas saya hulur payung sambil mata memandang tepat padanya. Gaya ala-ala pemain pedang gitu. Bila dia melihat saya bersedia untuk melawan, dia bergegas pergi dengan muka yang marah. Mungkin malas hendak melawan saya di lorong sempit tu.

Kena marah yang saya dapat bukan tahniah dari suami. Bukan senang nak jadi hero kata suami, nanti takut pemuda itu dendam pada saya nanti. Hampir seminggu lebih saya tidak ke sana. Nasib baik ada pasar lain.

Pasar Besar Guangzhou kalau sesiapa ingin berkunjung ke situ, perlu pakai kasut dan baju yang sesuai. Pasar itu terlalu besar dan panjang berbentuk simbol 'campur'. Satu hari belum tentu cukup masa untuk  habis berjalan ke seluruhan pasar tersebut. Pertama kali saya ke sana, pemerhatian saya seolah saya bukan ke pasar tetapi macam pergi ke zoo.

Pelbagai jenis binatang yang dijual untuk dibuat makanan. Semua binatang itu hidup. Dari binatang yang kecil seperti serangga hingga sebesar-besar binatang. Pembeli boleh beli, bayar dan tunggu pekerja mereka mengerjakan binatang itu untuk disembelih dan dibersihkan serta di potong mengikut pemintaan pembeli. 

Paling saya sedih dan tidak boleh pandang adalah apabila melihat bagaimana kucing dimatikan, dibuang kulit dan dipotong. Menitis air mata duka tidak terkata, tersayat hati melihat binatang kesayangan nabi diperlakukan sebegitu. Namun, apakan daya saya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang.

Masih banyak lagi kenangan di sana, tunggu di entri seterusnya.

Dugaan dari kesilapan (Bahagian 1)

Ingat tak saya pernah bercerita tentang pengalaman bersalin menggunakan kaedah ubat induce hanya atas alasan doktor bersalin tidak mahu melihat saya bersalin di dalam bulan Ramadhan. Pada ketika itu saya tertanya-tanya adakah saya seorang yang dipaksa bersalin awal atau ada lagi wanita lain yang mengalami pengalaman yang sama.

Tindakan doktor mengeluarkan bayi lelaki saya awal 3 minggu sebelum tarikh bersalin telah memberikan akibat yang buruk pada anak. Selamat sahaja bayi dilahirkan, terus sahaja didakapkan pada tubuh saya. Anak yang saya namakan Muhammad Ilham Ammar itu kelihatan luaran sempurna seperti bayi lain. Namun, segalanya berubah selepas dua minggu dia melihat dunia. Keadaan perutnya yang membengkak dan tegang akibat dari Ammar yang berhenti membuang air besar (solid) dan sering menangis. 

Pada hari ke 17 saya telah membawa Ammar ke Pusrawi, Kuala Lumpur dan di situ saya diberitahu oleh doktor pakar, anak saya menghidap penyakit usus besar atau dikenali sebagai Hirschsprung's disease . Keadaan usus besarnya yang menyambung ke dubur, salah satu saraf masih belum terbuka akibat dilahirkan tidak cukup bulan. Ia menyebabkan ususnya tidak boleh membuka untuk memberi laluan najis (solid stool) ke dubur. Ammar terus dibawa ke bilik rawatan serta merta dan di masukkan tiub dari mulut untuk segera mengeluarkan segala najis yang semakin menekan perutnya.

Saya dan suami begitu tertekan apabila menerima berita tersebut dan hanya dapat berdoa agar bayi kami selamat. Sekilas hujung mata terpandang suami mengelap air mata pilu seorang ayah. Selepas proses itu selesai, doktor pakar memberitahu esok Ammar perlu menjalani pembedahan membuka usus besar dan di tebuk lubang tepi perut untuk mengeluarkan najis dari situ. Berpinar mata dan menitis air mata, bayi yang baru 17 hari melihat dunia perlu menjalani pembedahan yang besar atas kesilapan kami yang kekurangan ilmu perubatan. Jika kami membantah atas permintaan doktor bersalin untuk bersalin awal pasti Ammar tidak perlu menjalani kehidupan begini.

Cerita selanjutnya akan saya ceritakan di entri selanjutnya.

Pengalaman Berpantang

Teks : Rozie Wahid

Berpantang adalah do’s and don’t selepas bersalin. Semua wanita yang telah melalui proses bersalin sama ada secara normal atau pembedahan akan melalui waktu berpantang. Namun,  jangka waktu berpantang bergantung kepada adab bangsa dan individu itu sendiri. Ada yang hanya 30 hari, 44 hari, 60 hari atau 100 hari. Saya mengambil yang sederhana iaitu 44 hari.

    Biarpun saya hanya bersalin untuk tiga orang bayi tetapi saya juga pernah keguguran sebanyak tiga kali juga. Emak selalu berpesan kalau keguguran wajib berpantang sama seperti saya bersalin. Beza untuk berpantang ketika keguguran adalah pengambilan makanan yang betul adalah penting sangat. Emak kata bila tidak berpantang nanti segala penyakit yang tidak kita ketahui akan timbul ketika usia meningkat.

    Pengalaman berpantang semasa di Guangzhou, China dan di tanah air sendiri memang berbeza. Di sana saya hanya bertemankan suami dan segalanya perlu dilakukan sendiri. Ketika berpantang di sini, ada bidan yang boleh menolong dari memandikan bayi hingga merebus air mandian herba untuk saya. Mak bidan pesan pentingnya minggu pertama dalam berpantang kerana kita perlu keluarkan peluh kotor semasa bertangas dan mandi herba. Paling saya suka adalah ketika berurut dan bertungku. Seluruh badan yang sejuk luaran dan dalaman terasa hangat. Mak bidan juga akan mengurut agar air susu penuh dan banyak cukup untuk bekalan bayi setiap hari. Kandungan susu badan selalu menjadi isu pada kaum ibu yang kadang kala mengalami kekurangan susu.

    Amalan pengambilan makanan jamu dan makanan yang boleh memberikan khasiat yang seimbang bagi tubuh yang telah banyak kekurangan darah dan tenaga. Namun, ia juga boleh menyebabkan bayi mengalami cirit birit jika kita mengambil secara berlebihan. Itulah yang saya alami untuk bayi pertama dan kedua. Hanya bayi ketiga baru pandai mengatur pengambilan jamu.

  Paling sukar di dalam berpantang yang setiap kali saya lalui adalah berbengkung. Dari tali pengikatnya pendek hingga menjadi panjang. Sepanjang dua minggu pertama adalah wajib untuk memakainya. Mak bidan bising kalau saya cuba longgarkan atau tidak memakai langsung. Di penghujung berpantang baru saya faham pentingnya berbengkung. Habis semua alignment yang lari masuk semula.

Pengalaman Bersalin

Teks : Rozie Wahid

Setiap kelahiran tahap kesakitan adalah berbeza. Saya mengalami tiga kali proses bersalin yang normal. Alhamdulillah untuk bersalin anak pertama dan ketiga kesakitan yang saya alami tidak begitu teruk. Air ketuban dipecahkan oleh doktor. Sejam selepas air ketuban dipecahkan, bayi keluar dengan tiga hingga empat kali teran sahaja.

    Pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah ketika bersalin anak kedua. Doktor bersalin ketika itu adalah doktor lelaki. Masa tu belum ada kesedaran mengenai pemilihan doktor perempuan bagi menyambut kelahiran.

   Kehamilan saya adalah normal dan sihat, begitu juga bayi. Saya dijangka bersalin pada 23 ramadhan. Semasa pemeriksaan kehamilan, tidak semena-mena doktor memberi tarikh bersalin yang lebih awal iaitu dua hari sebelum ramadhan. Menurut kata doktor, ia umpama buah telah masak bila-bila masa boleh dijolok. Oleh kerana beliau adalah seorang doktor pakar di hospital swasta, kami hanya menurut tanpa mempersoalkan.

    Pada hari yang ditetapkan, saya diberi ubat induce pada jam 10 malam. Selepas beberapa minit air ketuban dipecahkan dan sakit bersalin pun bermula. Baru saya faham apa makna sakit menggunakan kaedah induce. Kontraksinya adalah setiap saat dan pastinya kesakitan bersalin tidak terperi. Saya beritahu suami yang ini adalah kali terakhir untuk saya bersalin. Saya tidak mahu ada kelahiran selepas ini. Suami hanya mengiakan saja kata-kata dari isteri yang tidak stabil emosi ketika itu. Hampir 6 jam kesakitan yang dirasakan dan doktor hanya akan masuk ke bilik bersalin ketika beberapa minit terakhir sahaja sebelum saya diberi kebenaran meneran.

    Syukur, selepas bertarung nyawa seorang bayi lelaki selamat dilahirkan. Namun, implikasi dari dipaksa keluar awal dari tarikh bersalin diketahui selepas 17 hari dia melihat dunia.

Pada entri yang lain akan saya ceritakan. 

Pengalaman Keguguran

Teks : Rozie Wahid

Kata doktor saya memang mudah keguguran. Kalau dikira yang gugur, anak saya semua ada 6 orang. Oleh kerana sering keguguran, alhamdulillah dapat juga 3 orang anak-anak yang sihat dan sempurna sifatnya.

    Pengalaman pertama keguguran adalah ketika saya di Guangzhou, China. Kehamilan itu adalah kehamilan yang pertama. Bukan mudah bagi saya atau suami untuk menerima berita itu. Saya sering menyalahkan diri sendiri kerana gagal melindungi bayi yang saya kandungi. Memang silap saya.

    Kejadian itu ketika usia kehamilan hampir 3 bulan. Musim sejuk masih ada walaupun suhu sudah semakin menaik. Saya melambatkan waktu mandi pada hari itu walaupun selalunya saya mandi menggunakan paip hujan (shower). Namun pada hari itu saya teringin sangat untuk berendam di bath tub.

    Usai menghantar suami pergi kerja di pintu lif, saya terus masuk ke dalam rumah untuk membuka paip air bath tub. Saya masukkan sekali bauan yang amat menyenangkan. Apabila semua sudah tersedia, saya pun melangkah masuk ke dalam bath tub. Entah di mana salahnya, langkah saya tidak kedap. Saya terjatuh dan terhentak di dasar bath tub. Pada mulanya saya terkejut kerana terjatuh hingga terdiam seketika. Saya cuba bangkit untuk membetulkan duduk namun, perut terasa kejang yang teramat. Sakit yang saya tidak pernah rasa. Seolah perut saya dipusing-pusing atau dipulas. Badan langsung tidak boleh digerakkan. Bergerak sedikit sakit terasa lebih lagi.

   Saya perlu mencari telefon, bantuan perlu saya panggil. Hanya suami sahaja yang dalam fikiran saya ketika itu dan itu saja yang saya boleh fikir. Saya buka butang penutup bath tub untuk membuang air yang ada. Rupanya tanpa tekanan di dalam air, darah keluar dengan banyaknya. Saya semakin panik, hendak bangun mencapai telefon kedudukannya agak jauh. Akhirnya saya tidak punya pilihan untuk bangun dan melangkah ke ruang tamu. Dalam keadaan yang berdarah, saya gagahi. Suara suami di hujung talian meredakan kegusaran. Hampir 20 minit selepas itu, suami muncul di ruang tamu melihat saya yang lemah namun masih berpusing ke kiri dan ke kanan kerana menahan kesakitan.

   Suara suami tenang menyuruh saya bernafas dan berdiam seketika dari berpusing-pusing. Dalam waktu saya berdiam tiba-tiba terasa ketulan keluar dan kesakitan pun kurang. Suami mengambil ketulan itu dan diletakkan di dalam kain putih. Saya terlihat matanya yang merah bersama air mata di tubir. Dia keluar untuk menanamnya di tepi sungai bersebelahan rumah kami. Saya pasti air matanya tertumpah di situ.

Pengalaman Hamil

Setiap yang bernikah inginkan kehadiran si comel. Saya tidak terkecuali namun, saya tidak merancang. Bulan pertama apabila waktu haid melangkau ke bulan seterusnya tidak kunjung tiba, saya agak pelik. Ketika itu saya menetap di Guangzhou, China. Saya kurang ilmu hamil, jadi apabila perut terasa sebu dan senak buat saya tidak selesa.

Musim sejuk di sana tidak ada salji tapi suhu rendah dengan tiupan angin yang kuat menyebabkan saya lebih suka duduk di dalam rumah. Saya adalah seorang yang cukup mementingkan penjagaan berat badan. Pantang berat badan bertambah sedikit, saya pasti cepat mulakan diet.

Saya suka memasak, setiap hari saya akan pastikan ada sup panas dihidangkan setiap malam untuk suami dan saya. Selalunya saya akan makan tidak berlebihan tetapi saya asyik terasa lapar yang tidak boleh dibendung. Ada kala selepas makan malam, saya masih boleh makan biskut atau roti. Keadaan saya yang semakin berubah gaya pemakanan menyebabkan perut semakin membuncit. Suami menegur kerana selalunya saya yang sibuk hal bab diet.

Apabila hampir sebulan haid tidak datang, saya baru tertanya-tanya pada suami. Agaknya kenapa haid saya masih tidak datang. Adakah kerana suhu sejuk sangat ke? macam-macam yang saya fikir namun, tidak terlintas tentang kehamilan. Hingga salah satu isteri rakan kami datang ke rumah bercakap mengenai kemungkinan saya hamil.

Suami dapatkan kit untuk uji kehamilan. Puas juga baca penerangan di kertas dalam kotak tu. Hampir sejam saya di dalam bilik air, suami saya pula berjalan mundar mandir menunggu saya di luar. Asyik bertanya sudah atau belum. Makin pening saya dibuatnya. Akhirnya pintu bilik air saya buka sambil melemparkan senyuman pada suami yang muka tercengang menanti tutur kata saya. Saya hanya menghulurkan kit kehamilan yang ada dua baris merah jambu yang jelas. Dahi suami saya makin berkerut sambil bertanya, apa tu?

Saya menggekek melihat air muka suami yang masih kebingungan. Saya beritahu dua baris tu tandanya saya hamil. Dia melompat kegembiraan dan kesyukuran seketika. Tiba-tiba dia berhenti sambil berdiri kaku merenung tepat pada saya. Dia kata, saya perlu balik Malaysia untuk bersalin di Malaysia. Dia tidak mahu anak pertama kami jadi warganegara China…sabar jelah.

Menetap di China (Bahagian 1)

Teks : Rozie Wahid

Masih terbayang di ruang mata. saya berdiri di balkoni aras 15. Ketika itu masih belum banyak bangunan yang tinggi yang berdekatan tempat tinggal kami iaitu pusat bandar di selatan china iaitu Guangzhou di Guangdong province. Suami kata keluasan bandar ini lebih kurang  sepuluh kali keluasan Singapore. Kedudukan tempat tinggal kami lebih kurang jarak 15 minit berjalan kaki ke pasar besar terkenal di Guangzhou.

    Banyak kenangan manis sepanjang tinggal di sana. Banyak yang saya pelajari, dari bahasa dan gaya hidup. Saya memang suka masak sendiri di rumah walaupun di sana juga mudah untuk mendapat makanan halal. Saya bawa segala rempah ratus dari Malaysia. Setiap sebulan sekali, saya akan buat jamuan makan dengan kenalan dari Malaysia. Saya pasti akan menyediakan makanan Malaysia yang sentiasa dirindu. Nasi lemak, nasi beryani, roti canai, rendang, karipap dan macam-macam menu yang sering disajikan. Saya suka memasak tetapi kurang makan. Hati tersenyum bila melihat kawan-kawan makan sambil bergelak ketawa. Kami ibarat sebuah keluarga yang besar di sana. Lupa nak beritahu, dalam 20 orang lebih itu hanya saya seorang sahaja berbangsa melayu.

    Pengalaman yang agak lucu adalah apabila pertama kali saya ke pasar kecil berhampiran dengan rumah. Puas saya cari ikan yang mati untuk dimasak tetapi tidak ada. Semua yang dijual adalah ikan yang masih hidup. Kali pertama nak siang ikan terasa macam baru aje jadi pembunuh. Terlompat-lompat kegelian bila ikan bergerak. 

    Suami beri tip, sejurus balik dari pasar, ikan tersebut harus disimpan terus dalam tempat sejuk beku untuk setengah jam baru boleh disiang. Baru saya tahu yang ikan yang telah mati sudah tidak ada nilai. Harga untuk ikan sebegitu agak murah. Kalau di pasar basah Malaysia ikan yang hidup pula kurang. Harga ikan yang mati dan sejuk beku pula agak mahal. Mereka suka makan makanan yang segar dan berkhasiat. Itu yang buat saya jatuh cinta tentang china.

Ada banyak lagi kisah menarik di sana, nanti akan saya ceritakan di lain entri.