Thursday 26 May 2016

PERNIAGAAN YANG TERANCANG (3)

Teks dan Foto : Rozie Wahid

Kami bertiga telah sebulat suara untuk memberi nama brand produk kami iaitu PROPA by MW Series Group. Kenapa PROPA? Kerana ia satu nama yang mengambarkan kehebatan diri dan situasi. Ya, kami mahu menjadi hebat, sehebat nama PROPA.

       Apa ada dengan PROPA? Kami akan menyediakan setiap koleksi pakaian mengikut berperingkat. Peringkat permulaan dan juga melihat sambutan Hari Raya tidak begitu jauh lagi, kami sepakat untuk mengeluarkan produk tudung/hijab dahulu.

            Sesiapa yang berminat untuk menjenguk, cuci mata, membeli sehelai dua atau ingin berniaga kami sediakan sistem agen. Namun untuk yang baru ingin mencuba perniagaan online dengan modal yang rendah boleh bermula dengan dropship.

            Apa itu agen? Agen adalah pengedar produk bagi pihak syarikat kami dengan mengikut terma dan syarat yang disediakan. Agen perlu membeli produk kami dengan minama Lot sebagai stok permulaan perniagaan. Segala tools perniagaan seperti gambar yang professional akan diberi bagi memudahkan promosi. Keuntungan agen adalah tinggi kerana pihak syarikat inginkan agen yang berkualiti dan aktif.

      Apa itu dropship pula? Dropship adalah agen yang mempromosikan produk syarikat tanpa mengeluarkan modal yang besar iaitu prepaid hand phone yang berinternet sahaja serta yuran yang minima. Tiada istilah menjadi Dropship tanpa modal, segalanya bermodal. Dropship tidak perlu menyimpan stok di tangan dan hanya menyerahkan detail pelanggan kepada kami untuk tujuan pengeposan produk. Segalanya hanya di hujung jari. Ingin Berjaya atau tidak, tepuk dada tanyalah selera.

            Sesiapa yang berminat untuk membeli produk kami atau menjadi agen pengedar atau hanya sekadar dropship, anda dialu-alukan.

Mohon like page kami untuk melihat koleksi yang dihidangkan;
Boleh follow di instagram kami;
@hijab_propa
Atau Whatsapp terus ke +601124002938

Kami akan memberi jawapan atas setiap soalan anda. Jom Singgah!!!












PERNIAGAAN YANG TERANCANG (2)

Teks : Rozie Wahid

Sebagai umat islam, semua orang ternanti-nanti bulan Ramadhan, bulan keberkatan dan juga bulan ibadah. Para peniaga tidak kurang juga yang ternanti-nanti untuk menyambut seruan Nabi kita agar berniaga kerana itu juga ibadah.

            Produk sudah ditangan, cantik tersusun. Kami meneruskan langkah seterusnya untuk menyediakan sesuatu persembahan yang lebih professional. Kami mengaturkan photoshoot agar image yang akan ditampilkan jadi lebih menarik dan tertarik. Seusai pengambaran dilakukan, kami terus meneruskan rancangan kami. Bagi mengikut peredaran semasa dan bersama-sama di dalam perniagaan masa kini yang lebih giat dilakukan secara online berbanding offline, kami turut serta. Sekali lagi, semuanya harus ada ilmu dan guru.

            Kami mencari ilmu Internet Marketing yang banyak terhidang dan seminar pertama adalah Grand Seminar Tudung (GST 2016) bertempat di PWTC selama 2 hari. Di situ kami belajar bagaimana pengurusan perniagaan tektile dari a hingga z. Selesai itu kami teruskan dengan bergabung kelas anjuran TYRA Wholesale bertempat di Bangi. Saya hadiri sebanyak 2 kali untuk memahami selok belok fbads, iaitu pengiklanan menggunakan facebook.

            Bukan mudah juga diusia sekarang untuk belajar internet marketing secara teknikal. Namun saya sahut cabaran tanpa rasa lelah. Saya diberi peluang seterusnya oleh CEO Tyra Wholesale untuk mengikuti seminar yang saya kehendaki. Allah memang Maha Mendengar apabila saya diberi peluang itu tanpa membayar sesen pun. Jasa Tyra tidak saya lupakan. Seminar yang paling ulung iaitu Seminar Chapter O, anjuran Sifu Fbads. Hati saya rasa terharu, bangga, teruja apabila Allah aturkan dari ribuan yang hadir, saya dapat kerusi yang agak hampir dengan pentas. Jelas wajah sifu Jamal kelihatan dari tempat duduk saya.

            Dari seawal 7 pagi hingga 1.15 pagi kami disajikan dengan ilmu yang padat. Sememangnya sifu Jamal tidak kedekut untuk mencurahkan ilmu agar anak bangsa menjadi kaya dan berjaya dunia akhirat. Badan keletihan, otak penuh dan saya balik ke rumah dengan azam yang teguh agar saya akan dapat menjadi ‘the next hot seat person’.


Ada lagi ceritanya, tunggu…






Wednesday 25 May 2016

PERNIAGAAN YANG TERANCANG (1)

Teks : Rozie Wahid

Pernah 15 tahun dahulu saya menginginkan untuk menceburi diri dalam perniagaan textile. Bila impian tersemat saya pun memulakan langkah pertama iaitu menghadirkan diri ke kelas bagi mendapatkan diploma fesyen. Namun saya tidak berlama di situ, sempat hanya 6 bulan kerana pihak akedemi menghadapi masalah dan kelas dibubarkan.

            Nasib menyebelahi saya ketika rasa duka menyelubungi diri apabila pihak persatuan Ibu Tunggal mengumumkan untuk membuat majlis makan malam. Saya diminta untuk masuk di slot fashion show bagi semua koleksi baju yang telah saya siapkan. Majlis makan malam yang dihadiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dan isteri serta para tertamu yang terhormat berpuas hati dengan koleksi fesyen yang disajikan. Namun panas tidak sampai ke petang apabila saya terpaksa menutup tirai impian itu atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

            Penghujung bulan Mar 2016 saya dipelawa oleh adik untuk bergabung tenaga dan usaha dalam perniagaan online yang berasaskan tektile. Hati saya berbunga semula setelah sekian lama impian itu terkubur. Dengan sedikit pengalaman di dalam bidang ini saya terus menghayun langkah dengan gagah bersama dua adik. Kami menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama MW Series Group (MW adalah sempena nama emak dan abah).

            Berhempas pulas kami dalam marathon kerana tirai Ramadhan hampir menjelma dan pastinya permintaan produk kami salah satu yang wajib dicari untuk menyambut Hari Raya. Pantas kami mencari fabrik, tukang jahit pukal kerana kedengaran slot untuk Hari Raya akan ditutup. Kami akan bermasalah jika tiada tukang jahit yang sanggup untuk mengambil tempahan. Syukur, semua telah selesai diserahkan kepada tukang jahit.

            Langkah seterusnya mencari design produk, label, sticker dan packaging. Ya, semuanya bukan mudah. Kami tetap teruskan juga walaupun kami bertiga agak keletihan kerana membuat dua kerja. Genap sebulan produk kami telah siap di tangan dan perasaan ketika itu penuh dengan kegembiraan kerana akhirnya apa yang kami rancang telah menjadi kenyatan. Namun ini bukan penamat, ada misi di peringkat seterusnya kami perlu lakukan demi mencapai kejayaan.


Saya akan cerita di entri akan datang. 

Wednesday 17 February 2016

Ada Apa Dengan ABDR?

Teks : Rozie Wahid

Ada apa dengan ABDR? Itulah persoalan yang pertama memenuhi benak rasa apabila puan Masayu bercerita tentang ABDR di fb beliau. Terpanggil untuk mengetahui lebih lanjut sama ada kelas ini berbaloi dan boleh memberi manfaat pada saya atau tidak, lalu saya google. Saya dapati ABDR ini adalah kumpulan sokongan kepada sesiapa yang berhajat untuk beralih arah dari bekerja di pejabat kepada menjadi bos dari rumah sendiri.

            Bersesuaian dengan namanya ABDR iaitu Akedemi Bekerja Dari Rumah, ia tidak terhad kepada golongan wanita sahaja malah peluang dan ruang diberi kepada sesiapa yang berminat untuk belajar memulakan kerjaya dari rumah secara berperingkat. Pada masa yang sama kita boleh menikmati kualiti kehidupan bersama keluarga tersayang.

            Oct 2014 adalah bulan kedua saya mulai berehat sepenuhnya di rumah atas alasan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk saya terus bekerja di pejabat. Namun, orang biasa bekerja akan terasa badan semakin lemau apabila hanya duduk tanpa berbuat apa-apa. Pada masa yang sama saya mempunyai kelemahan iaitu saya seorang yang pemalu di alam maya, malu untuk menyuarakan sesuatu pendapat, komen atau berkongsi cerita. Sejujurnya ABDR adalah batu asas bagi saya untuk keluar dari sifat malu apabila orang lain membaca penulisan saya. Selepas tugasan ke 43 saya sedar yang saya telah dapat atasi kelemahan itu.

            Saya akui sebagai manusia yang sentiasa sibuk dengan kehidupan harian dan tidak lupa juga dengan segala ujian serta dugaan menyebabkan penulisan sering tertangguh, namun saya bersyukur adanya ABDR. Para tenaga pengajar yang tidak jemu dari subuh hingga ke malam mengeluarkan posting di fb menyalur arua positif kepada semua pelajar agar tidak putus asa dan berhenti separuh jalan.
            Ini adalah tugasan terakhir saya. Apakah yang akan berlaku selepas ini? Sudah pasti saya tidak akan berhenti menulis, jemput jenguk selalu ke blog saya kerana di sini anda akan disajikan pelbagai rencah dan rasa dalam kehidupan manusia.


p/s : Terima kasih yang tidak terhingga kepada para tenaga pengajar ABDR yang awesome, terutama puan Masayu. Tanpa kamu semua mana mungkin ulat ini bertukar menjadi rama-rama…cheewah!!!

Tuesday 16 February 2016

Best ke Filem Hindustan?

Teks : Rozie Wahid
Foto : Google

 

Saya adalah peminat filem-filem Hindustan, lebih lagi jika actor yang diminati ramai iaitu SRK, Shah Rukh Khan membintanginya. Semua CD SRK saya beli tidak kira yang lama atau baru. Jika 25 tahun yang lepas, saya kumpul kaset koleksi lagu-lagu hindustan yang pernah saya tonton. Terkadang bukan sahaja faham walaupun tiada subtitle, malah menyanyi bersama apabila keset saya pasangkan di walkman. Ada juga rakan encik suami yang bertanya, macam mana suami bangsa cina namun saya minat Hindustan. Saya hanya tersenyum.

            Kegilaan saya bermula selepas habis SPM, apabila rakan baik saya juga mempunyai minat yang serupa. Kami bukan sahaja menonton di televisyen, malah ke panggung wayang juga. Zaman itu agak ganjil jika budak melayu yang masuk panggung cinema untuk menonton cerita Hindustan. Cakap sahaja panggung mana yang kami tidak masuk, hingga panggung di bawah dataran merdeka juga kami telah jejaki.

            Itu dulu, sekarang sudah berubah. Banyak panggung wayang telah ditutup atau diubah. Namun untuk menonton wayang Hindustan di panggung yang besar juga tidak sukar didapati. Orang melayu sudah membanjiri panggung jika ada SRK. Pasti bekalan tisu tidak dilupakan kerana hingga bengkak mata menangis kerana penghayatan yang sedikit juga boleh tersentuh hati dan perasaan.

            Sekarang saya sudah semakin kurang menonton Hindustan. Terkini adalah cerita lakonan SRK, Dilwale. Oleh kerana saya pernah melihat lebih dari 6 kali Dilwale lama lakonan orang yang sama iaitu SRK dan Kajol. Saya teramat kecewa melihat mutu lakonan dan jalan cerita Dilwale baru. Saya bagi 2.5 bintang! Saya masih suka Dilwale lama walaupun SRK dan Kajol tidak secantik dan setampan yang di Dilwale baru.

            Dibandingkan cerita terkini Salman Khan, Bajrangi. Selama ini lakonan Salman Khan yang acuh tak acuh dan hanya sekadar memperlihatkan tubuh yang sado sahaja. Namun cerita Bajrangi ini adalah lakonan yang terbaik oleh Salman Khan. Bukan badan sado yang dipamerkan tetapi jalan cerita yang kuat. Ia memperlihatkan kesungguhan mereka untuk educate rakyat India dan Pakistan betapa pergaduhan dan kebencian antara mereka harus dihentikan kerana ada nilai baik dalam diri rakyat India dan Pakistan walaupun berlainan agama. Superb! Saya kasi 4.5 bintang.

            Kadang-kadang saya juga gemar menonton cerita Tamil di tv2 setiap hari Ahad. Cerita Tamil tidak pernah gagal memberikan mesej yang kuat, jalan cerita yang cantik, mengekalkan budaya mereka dan pastinya para pelakon yang cantik dan tampan dengan cara mereka tersendiri. Ada beberapa kali juga titisan jernih mengalir tanpa sedar. Terima kasih pada penulis subtitle. Saya bukan hendak promosi cerita Hindustan atau pelakonnya tetapi ini sekadar pandangan ikhlas sebagai peminat Hindustan. Boleh gitu?

            Sebenarnya cerita apa, bahasa apa itu semua tidak penting kerana selagi ada nilai murni yang cuba disampaikan pastinya dengan subtitle, saya pasti suka menonton. Saya memang gemar menonton cerita benar tentang manusia bukan cerita yang terlalu kawal cantik dan kawal macho. Jangan jadi plastik, tak elok.


Harbin - Salju di hati (5)

Teks : Rozie Wahid

Kepuasaan bermain salji, mencuba makan salji, belajar meluncur dan bermain ice skating di atas tasik beku di Harbin adalah satu pengalaman yang amat sukar untuk saya lupakan walaupun ia telah lebih 20 tahun berlalu.

            Malam itu kami di bawa ke satu kawasan yang agak besar lagi. Di situ satu festival sedang berlangsung. Ia adalah ice carving iaitu ais diukir dengan pelbagai bentuk. Dari sekecil bentuk binatang hingga sebesar kawasan meluncur yang cantik. Kami melusuri lorong ke lorong untuk melihat keindahan ukiran ais yang disertai oleh pengukir ais dari seluruh dunia. Di dalam ais yang diukur itu diletakkan setiap satunya lampu yang berwarna warni. Ukiran itu kelihatan lebih cantik apabila dilihat di dalam kamera.

            Saya terlompat kegembiraan apabila encik suami menunjuk bendera Jalur Gembilang terlekat pada ukiran ais. Perasaan bangga dan sebak serta merta memenuhi ruang dada, hampir saya mengalir air mata melihat ukiran yang diukir oleh rakyat Malaysia. Pandainya mengukir walaupun di Malaysia tidak ada salji, kata hati saya. Jika sekarang ia bukanlah sesuatu yang menakjubkan apabila adanya i-city.  Namun ketika itu saya seolah berasa untuk memberitahu semua orang di situ yang saya dari Malaysia dan ukiran itu milik kami rakyat Malaysia. Tergeleng-geleng kepala encik suami melihat gelagat saya tetapi saya biarkan sahaja.

            Kami terus berjalan hingga ke penghujung lorong sambil mengambil gambar sana dan sini. Tidak ketinggalan juga saya mencuba meluncur dari ukiran ais yang dibuat setinggi bangunan dua tingkat. Duduk beralaskan papan kayu tebal sambil berpegang pada pemegangnya laju turun berpusing hingga ke bawah. Rasa gayat sudah tidak ada lagi atas latihan meluncur siang tadi. Kawasan festival agak besar juga untuk kami habis menerokai keseluruhan.

            Encik suami beberapa kali mengingatkan saya untuk menutup muka kerana suhu semakin malam semakin turun. Diramas beberapa kali tangan saya, walaupun bersarung tangan masih terasa sejuk yang menyengat. Saya minta untuk makan bubur sahaja untuk makan malam kerana selera agak kurang. Satu badan macam baru dibelasah, jari kaki, telinga dan tangan sakit kebas. Mungkin jika dicucuk jarum pun belum tentu saya rasa apa-apa walaupun darah sudah mengalir. Ini semua akibat kesejukan dan ia betul-betul terasa apabila kami sampai di bilik hotel. Namun. Pengalaman hari ini walaupun keletihan dan kesakitan tetapi ia adalah keletihan yang amat berbaloi.


            Apabila kami berlepas meninggalkan Harabin, saya berkata dalam hati suatu hari nanti saya akan datang lagi.

Harbin - Salju di hati (4)

Teks : Rozie Wahid

Berdiri di pintu masuk hotel sambil mendongak kepala ke langit. Agak lama juga saya tidak memandang langit biru dan pancaran matahari. Kelihatan cuaca yang kelam dan salji turun bak kapas halus menutupi segalanya.

            Hari ini kami bercadang ke suatu tempat yang istimewa. Senyuman tidak lekang dari bibir kerana encik suami akan menemai saya sehingga malam menikmati aktiviti yang paling saya tunggu-tunggu. Berpakaian lengkap, kami sampai di kaki pergunungan. Bersarapan dahulu di sebuah restoran yang ruang hiasan dalaman dipenuhi dengan segala macam kepala binatang yang diawet. Namun seluruh ruang dipenuhi oleh para pengunjung yang rata-rata adalah bangsa cina. Saya seorang agaknya yang berbangsa melayu, bisik hati.

            Aktiviti pertama adalah menaiki kuda yang berbulu lebat menutupi seluruh badan, pastinya kuda-kuda di kawasan bercuaca sesejuk ini amat memerlukan bulu yang tebal bagi meneutralkan suhu badan. Saya memilih kuda yang saya suka dan mesra apabila kami saling berpandangan. Menunggang kuda dalam cuaca sebegini sebenarnya menambahkan rasa sejuk, namun untuk berjalan jauh saya pasti tidak larat. Di penengah jalan kami berhenti di satu kawasan mata air. Pemandu pelancung memberi ruang dan peluang untuk kami menjamah dan merasai mata air yang tetap mengalir walaupun dalam cuaca sesejuk -40ÂșC atau lebih rendah lagi. Kekuasaan Allah yang tidak boleh kita dustakan.

            Kami meneruskan perjalanan, saya terasa semakin sejuk seakan hidung pun serasa hendak tertanggal. Kami sampai di kawasan yang agak lapang dan kelihatan ramai pengunjung sedang bermain ski dan tidak kurang juga ada kawasan untuk belajar bagi yang belum mahir. Encik suami menghampiri saya lalu melekap tisu di bibir saya kerana darah sedikit mengalir akibat dari rekahan bibir. Saya oleskan pelembab bibir sambil mengangguk kepala tandanya tiada masalah, sambil mata memandang suami yang agak kerisauan.

            Mata terpukau melihat keindahan alam yang penuh disaluti salju dan atas rahmat itu dilimpahi kegembiran kepada setiap insan di situ. Saya mengepal salji seperti ais kepal lalu menggigit sedikit untuk merasainya. Saya ulurkan sedikit pada suami juga lalu berderai tawa kami tika saya berseloroh jika saya letakkan sirap, susu, cendul dan cincau pasti rasanya seperti ais kepal di kampung.

            Seterusnya adalah percubaan pertama saya meluncur. Saya memilih untuk berada di kalangan yang sedang belajar. Saya agak berdebar untuk memulakan dan encik suami memberi semangat sambil dia menunjukkan caranya dahulu. Dilambai beberapa kali sambil memanggil saya untuk turun. Saya kuatkan hati kerana saya tahu walau bagaimana pun pasti dia ada di bawah menanti saya. Terasa badan saya ditolak perlahan oleh tenaga pengajar lalu saya meluncur laju dan tanpa saya sedar saya sudah jatuh terlentang. Bila mata dibuka kelihatan encik suami sedang tertawakan saya sambil menghulur tangan membantu saya bangun semula. Sakit badan mulai terasa apabila saya ulangi beberapa kali dan jatuh beberapa kali juga. Saya hanya berhenti setelah luncuran baik dan saya tidak jatuh. Menghembuskan rasa lega mission accomplised.


            Kami berehat sebentar sambil menghirup sup panas untuk makanan tengah hari. Hati begitu puas dan bersyukur diberi kesempatan merasai nikmat ini. Bersambung lagi dientri seterusnya, nantikan.