Teks : Rozie Wahid
Kata doktor saya memang mudah keguguran. Kalau dikira yang gugur, anak saya semua ada 6 orang. Oleh kerana sering keguguran, alhamdulillah dapat juga 3 orang anak-anak yang sihat dan sempurna sifatnya.
Kata doktor saya memang mudah keguguran. Kalau dikira yang gugur, anak saya semua ada 6 orang. Oleh kerana sering keguguran, alhamdulillah dapat juga 3 orang anak-anak yang sihat dan sempurna sifatnya.
Pengalaman pertama keguguran
adalah ketika saya di Guangzhou, China. Kehamilan itu adalah kehamilan yang
pertama. Bukan mudah bagi saya atau suami untuk menerima berita itu. Saya
sering menyalahkan diri sendiri kerana gagal melindungi bayi yang saya
kandungi. Memang silap saya.
Kejadian itu ketika
usia kehamilan hampir 3 bulan. Musim sejuk masih ada walaupun suhu sudah
semakin menaik. Saya melambatkan waktu mandi pada hari itu walaupun selalunya
saya mandi menggunakan paip hujan (shower). Namun pada hari itu saya teringin
sangat untuk berendam di bath tub.
Usai menghantar suami pergi
kerja di pintu lif, saya terus masuk ke dalam rumah untuk membuka paip air bath
tub. Saya masukkan sekali bauan yang amat menyenangkan. Apabila semua sudah
tersedia, saya pun melangkah masuk ke dalam bath tub. Entah di mana salahnya,
langkah saya tidak kedap. Saya terjatuh dan terhentak di dasar bath tub. Pada
mulanya saya terkejut kerana terjatuh hingga terdiam seketika. Saya cuba
bangkit untuk membetulkan duduk namun, perut terasa kejang yang teramat. Sakit
yang saya tidak pernah rasa. Seolah perut saya dipusing-pusing atau dipulas. Badan langsung
tidak boleh digerakkan. Bergerak sedikit sakit terasa lebih lagi.
Saya perlu mencari
telefon, bantuan perlu saya panggil. Hanya suami sahaja yang dalam fikiran saya
ketika itu dan itu saja yang saya boleh fikir. Saya buka butang penutup bath tub
untuk membuang air yang ada. Rupanya tanpa tekanan di dalam air, darah keluar
dengan banyaknya. Saya semakin panik, hendak bangun mencapai telefon
kedudukannya agak jauh. Akhirnya saya tidak punya pilihan untuk bangun dan
melangkah ke ruang tamu. Dalam keadaan yang berdarah, saya gagahi. Suara suami
di hujung talian meredakan kegusaran. Hampir 20 minit selepas itu, suami muncul
di ruang tamu melihat saya yang lemah namun masih berpusing ke kiri dan ke
kanan kerana menahan kesakitan.
Suara suami tenang
menyuruh saya bernafas dan berdiam seketika dari berpusing-pusing. Dalam waktu
saya berdiam tiba-tiba terasa ketulan keluar dan kesakitan pun kurang. Suami
mengambil ketulan itu dan diletakkan di dalam kain putih. Saya terlihat matanya
yang merah bersama air mata di tubir. Dia keluar untuk menanamnya di tepi
sungai bersebelahan rumah kami. Saya pasti air matanya tertumpah di situ.
No comments:
Post a Comment