Ada atau tidak sesiapa
yang sedang membaca entri saya ini pernah menjejakkan kaki di Harbin, China.
Kenangan yang saya coretkan sepanjang saya menetap di China adalah lebih kurang
22 tahun yang lalu. Saya cuba mengimbau kembali walaupun tidak semua dan bukan
juga secara terperinci. Alhamdulillah saya masih menyimpan semua gambar-gambar
kenangan untuk rujukan jika saya terlupa. InsyaAllah akan saya kongsikan
gambar-gambar tersebut yang mana perkongsian adalah terhad kerana keadaan belum
berhijab.
Baiklah kita berbalik kepada pengalaman di Harbin. Seusai
saya bersarapan di hotel bersama encik suami dan dia mulai bergerak ke pejabat.
Saya didatangi oleh seorang wanita yang ketinggian lebih dari saya. Pastinya dia
wanita yang tinggi kerana saya sudah dikira tinggi juga. Raut wajahnya persis
wanita arab, berhidung mancung, berkulit putih susu bersama senyuman. Ms Lin
memulakan dengan tunduk hormat dan mengenalkan dirinya. Oleh kerana saya tidak
fasih berbahasa cina, malah agak sukar memahami dialek cina yang dipertuturkan,
dia lebih mudah menggunakan bahasa inggeris. Ia juga kedengaran tidak begitu
bagus tetapi cukup sekadar kami memahami sesama sendiri.
Saya dibawa berjalan sekitar pusat membeli belah Harbin.
Ia tidak mengagumkan saya kerana saya tidak memerlukan apa-apa barangan musim
sejuk untuk dibawa balik ke Guangzhou. Setiap kali masuk ke gedung membeli
belah, saya harus melalui bidai plastik yang tebal. Fungsi bidai plastik itu
untuk menghalang angin sejuk masuk ke dalam bangunan. Jika di Malaysia saya
selalu melihat bidai plastik itu di bilik sejuk beku sahaja bagi menghalang
udara sejuk keluar atau haba cuaca panas masuk ke dalam dan mengekalkan suhu
bilik sejuk beku. Tentunya bilik itu untuk menyimpan sayuran di pasar Selayang
tempat syarikat saya meyimpan sayur kobis bulat.
Kami berjalan agak jauh, keluar masuk gedung membeli
belah. Jari kaki mula sudah tidak berasa akibat cuaca yang semakin sejuk, salji
dijalanan semakin tebal. Diberitahu suhu ketika itu adalah -40ÂșC. Perut pun
sudah bernyanyi keroncong, ms Lin terus menarik tangan saya sambil menunjuk
kedai makan, KFC tidak jauh dari kami berdiri. KFC di Harbin? Adakah sama
dengan KFC di Malaysia? Jawapannya memang taklah. Tidak ada satu pun yang sama
kerana mereka menyediakan mengikut selera tempatan.
Usai makan untuk mengisi perut, saya dibawa melihat
keindahan bangunan. Di situ mata saya terpegun memandang bangunan kubahnya yang
sangat cantik biarpun kelihatan lama. Hati terdetik, cantiknya masjid ini.
Namun ms Lin memberitahu itu adalah bangunan gereja christian ortodoks. Oleh
kerana Harbin bersebelah dengan Rusia, sememangnya bangunan banyak yang
terpengaruh oleh reka bentuk Rusia. Tidak mustahil juga rakyat tempatan ramai
yang kacukan Cina Rusia.
Saya
segera membeli menutup telinga, walaupun kepala telah saya tutup namun telinga
masih terasa hendak tanggal akibat kesejukan. Jari jemari kaki juga sudah
kebas, tangan usah diceritakan. Ms Lin segera menghantar saya pulang ke bilik
hotel dan menyediakan minuman yang panas agar saya lebih selesa. Sebenarnya
saya lebih suka berada di luar bangunan kerana udaranya lebih segar berbanding
di dalam bilik hotel yang berbekalkan heater yang menyenangkan tapi menyebabkan
kulit kering dan gatal. Macam-macam lah kerenah saya ni.
Bersambung lagi di
entri seterusnya.
No comments:
Post a Comment