Encik suami membuat
saya terkejut apabila memberitahu selepas makan malam dan berjalan sebentar
melihat suasana malam, kami akan pergi swimming. Swimming? Saya membeliakkan
mata. Dalam cuaca sejuk -40ÂșC kami akan swimming? Encik suami tersenyum meleret
melihat saya yang kebingungan, pasrah dan terpaksa rela.
Berjalan berduaan di dalam cuaca yang sejuk mengila ini
tidak begitu terasa kesejukan. Kami meyusuri jalan sambil makan buah yang
dicelup dengan manisan dan dicucuk seperti satay. Rasanya sedap tetapi
kemanisannya yang saya tidak tahan kerana saya agak kurang gemar manis terlampau.
Para peniaga yang menjual berbagai makanan di sepanjang jalan itu pasti alah
bias tegal biasa dengan cuaca sebegini. Walau pun cuaca yang sejuk dan salji
mulai turun lagi, mereka tidak berhenti menjual makanan yang panas. Kami juga
tidak ketinggalan untuk makan ubi keledek bakar. Teringat di kampung dulu
semasa kecil, abah akan membakar ubi kayu di kebun buahan sambil melihat mak
membakar daun-daun kering. Betul-betul nostalgia bila makan ubi keledek bakar. Rasanya
memang tidak sama tetapi sedap sekali.
Kami berjalan menyusuri pelabuhan Harbin, di situ encik
suami menunjuk pada saya betapa dekatnya Korea Utara. Mata saya jadi lebih
segar apabila melihat kawasan peniaga menjual barang kemas. Saya adalah peminat
batu jed. Encik suami begitu perihatin lalu menghadiahkan gelang jed yang
cantik. Memang cantik tetapi apabila hendak disarung ke tangan perlu menahan
sakit yang teramat. Mereka menggunakan losyen sebagai pelincir. Apabila
tersarung sahaja bermakna tidak boleh dikeluarkan kecuali pecahkan ia. Saya
tersenyum puas bila melihat gelang jed sudah tersarung. Perempuan memang
begini, beauty is pain.
Menghampiri hotel, tiba-tiba encik suami membuat cadangan
yang pelik apabila mengajak saya makan ais cream. Saya ikutkan kerana tidak
mahu merosakkan suasana. Kami makan sambil ketawa kecil kerana kesejukan tapi
nyaman, dan pastinya perasaan itu tidak mudah untuk hilang dari ingatan.
Setiba di lobi hotel, beberapa orang staf dan isteri
mereka sudah pun menanti kami untuk meneruskan aktiviti swimming. Oleh kerana
kami tidak bersedia dengan pakaian renang, kami ke kedai berdekatan lobi untuk
membeli pakaian yang bersesuaian. Encik suami terus ke bahagian persalinan lelaki
dan berjanji akan berjumpa saya di kolam renang nanti. Saya dan beberapa orang
wanita lain melangkah ke bahagian persalinan wanita. Saya diberi kunci loker
untuk menyimpan pakaian, kasut dan barangan berharga.
Biji mata ligat bergerak ke kiri ke kanan mencari di mana
harus saya menukar pakaian. Saya terkesima melihat ramainya wanita yang tidak
ada seurat benang tanpa segan silu berjalan mundar mandir sambil berborak
bersama teman. Saya tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan dengan keras. Ms Lin
menghampiri lalu ditarik tangan saya ke satu sudut. Dia amat memahami apa yang
sedang bercelaru dalam kotak fikiran saya ketika itu. Dikepung saya dengan kain
tuala yang agak besar untuk saya menukar pakaian. Selesai satu bab, kata hati
saya.
Mulut saya tidak habis membebel pada suami kerana apa
yang saya baru lalui tadi amat memalukan. Dia hanya tersenyum manis menunjukkan
sebaris gigi yang putih rapi. Saya mula melihat sekeliling kolam renang yang
bersaiz agak besar dan di tepi kolam ada berbaris jakuzi air hangat untuk
pengunjung duduk berborak selepas berenang. Suhu air tidak begitu sejuk dan
menyegarkan. Pengalaman yang manis dan melucukan apabila diingat semula, namun
ketika itu saya agak stres juga ketika untuk menyalin pakaian semula selepas
berenang. Ternyata sifat malu yang ada pada saya amat tinggi hingga tidak
sanggup melihat walaupun sejenis. Lain budaya lain caranya.
Kita sambung lagi nanti
ya.
No comments:
Post a Comment