Thursday 26 November 2015

Perginya Cinta Hati Ke Dunia Abadi

Teks : Rozie Wahid

Setiap kali saya pandang wajah anak sulong, saya akan teringat pada suami yang tercinta. Kata orang kalau anak perempuan persis wajah ayahnya, sejuk.

Salah satu sebab utama kami pulang ke tanah air dulu adalah kerana suami inginkan rawatan dijalankan dengan lebih terperinci di sini. Setiap setahun sekali kami akan membuat ujian darah. Keputusan ujian darah ketika itu menunjukkan kesihatan suami tidak begitu baik. Oleh kerana doktor meminta kami untuk pulang bagi ujian lanjutan buah pinggang, kami mengambil keputusan untuk pulang dan menetap di Kuala Lumpur.

Pada bulan Oktober 1999, suami saya disahkan mengalami kerosakan di kedua-dua buah pinggang. Kami agak terkejut kerana suami amat mementingkan kesihatan, cuma suami adalah seorang perokok tegar dan itu juga salah satu puncanya kata doktor. Kami menerima dengan redha dan suami perlu menjalani rawatan dialysis. Sebulan rawatan dialysis seminggu sekali telah menjadi setiap selang sehari. Tubuhnya yang agak gempal semakin susut dan kurus kerana banyak berpantang dalam makanan dan minuman. Segalanya kena mengikut jadual doktor.

Hati isteri mana yang tidak runtun apabila melihat keadaan suami. Saya menawarkan diri untuk menderma satu buah pinggang saya kepada suami. Keputusan ujian keserasian saya lulus adalah berita yang amat gembira. Namun beberapa hari lagi tarikh pembedahan akan dijalankan, suami dikejarkan ke hospital. Doktor tidak pasti dengan keadaan suami dan katanya pembedahan adalah tidak sesuai ketika itu. Senyuman kami terhenti.

Pada ketika itu juga saya disahkan hamil. Kami menjadi serba salah dengan keadaan kesihatan suami dan berita kehamilan saya. Adakah perlu bergembira atau bersedih. Akhirnya kami hanya terdiam. Saya berjumpa dengan doktor gyne bagi menjalani ujian kandungan sama ada selamat untuk diteruskan atau akan menjejaskan kesihatan fetus. Seminggu menanti dengan gelisah ujian yang dihantar ke singapura. Akhirnya kami mendapat perkhabaran dari doktor bahawa fetus tidak terjejas dan boleh diteruskan.

Tahap kesihatan suami semakin menurun dan hospital menjadi rumah ke dua kami. Suami sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaannya. Dia mula membuat persediaan bagi menyambut kehadiran anak pertama kami. Namun, ketika usia kehamilan mencecah 6 bulan, suami telah dikejarkan ke hospital lagi. Kali ini sedikit berbeza kerana tanda-tanda kegagalan buah pinggang bukan lagi puncanya. Doktor membuat beberapa ujian lagi dan selepas beberapa hari di situ, doktor memanggil saya. Hali lintar menerjah ke saraf otak. Keputusan ujian memberi bacaan bahawa suami mengidap kanser. Doktor tidak boleh memberikan kata putus jenis kanser yang dihadapi, yang pasti virus kanser telah mula merebak ke hati.

Alhamdulillah saya bersalin dengan selamat. Dalam kerisauan melihat keadaan suami, saya terbuai melihat bayi yang comel di pangkuan. Suami adalah insan yang amat gembira apabila mendapat bayi perempuan. Hilang semua rasa sakit dicucuk jarum besar dialysis apabila pulang ke rumah menatap wajah anak.

Kami tidak pernah berputus asa untuk mencari punca virus kanser. Doktor pakar di Malaysia semua telah kami cuba dan akhirnya doktor telah mencadangkan kami ke Singapura untuk berjumpa pakar kanser di sana. Kami pergi untuk menjalani beberapa kali biaopsi bagi mencari jenis kanser apakah yang sedang menyerang dan apakah puncanya serta jalan penyelesaian. Berulang alik beberapa kali ke singapura dan akhirnya Dr Benjamin dari UHS memberitahu bahawa suami saya mengidap kanser darah di dalam tulang sum-sum. Beliau memberitahu suami hanya ada 6 bulan sahaja untuk hidup. Perkara pertama yang terkeluar dari mulut suami ketika itu adalah ‘baby kita’. Ya, baby kami baru berusia 7 bulan dan otak saya beku untuk memikirkan apa-apa.

Dua bulan selepas itu, suami harus ke singapura lagi untuk ujian selanjutnya. Ya, Oktober 2001 dan baby kami berusia 9 bulan. Sudah pandai memanggil ‘ma’dan ‘pa’. Suami mencium baby seolah tidak puas dan sebelum masuk ke kereta dia berpusing lagi untuk mencium baby. Kelihatan air matanya hanya di tubir. Itulah kali terakhir dia menatap wajah anaknya dan dia pergi menghadap Penciptanya di katil hospital UHS, Singapura.

Hilang semangat seketika dan terasa tubuh saya di awangan apabila doktor mengistiharkan suami telah pergi. Saya terpinga-pinga. Saya faham yang kami telah banyak kali berbual mengenai ini tetapi segalanya tidak sama perasaannya apabila ketika waktu yang sebenar telah tiba. Demi anak kami yang masih baby lagi saya kumpul semangat untuk meneruskan hidup tanpa suami. Saya tidak terkata apa-apa bila cinta kami dia bawa bersama, hanya rindu peneman meniti hidup. Selamat tinggal cinta hatiku.

14 tahun telah berlalu namun rindu dan cinta ini masih milik dia. Moga dia damai di sana.

Siapalah saya untuk mempersoalkan takdir. 

No comments:

Post a Comment