Monday, 29 December 2014

Kehilangan Abah

Teks dan foto : Rozie Wahid


Ketika saya menulis entri ini, usia abah menjadi penghuni dunia abadi hampir melangkah 20 tahun. Namun, perasaan saya sebagai anak kepada seorang lelaki yang saya panggil abah masih mendalam. Setiap bait-bait kenangan bersamanya masih segar di ingatan saya.

Semasa saya kecil, setiap kali saya sakit atau disakiti saya akan menangis sambil memanggil abah. Walaupun abah tampak garang dengan misainya, namun hanya dia sahaja yang saya inginkan. Perangai menangis memanggil abah ini terbawa-bawa hingga saya 16-17 tahun tetapi hanya untuk telinga saya sahaja. Malu pulak kalau ada orang dengar.

Abahlah yang mengajar saya mengayuh basikal. Dia pegang tempat duduk belakang sambil menolak basikal dan berteriak memberi semangat supaya saya terus mengayuh ke hadapan. Berderai tawa abah apabila melihat saya terjatuh beberapa kali. Rasa hendak menangis pun hilang apabila melihat abah tertawa.

Abah jugalah mengajar saya menunggang motosikal. Pada bulan puasa selalu cuaca agak terik dan kami adik beradik sering nampak keletihan dan bosan sambil menunggu waktu berbuka. Hari itu abah mengajak saya untuk pergi ke rumah pak Itam, tapi kali ini berbeza kerana abah suruh saya duduk di hadapan. Abah sudah menghidu ketakutan saya lalu ditariknya tangan saya sambil memujuk yang dia sentiasa ada di belakang dan tidak akan biarkan saya jatuh. Saya gagahi juga dan akhirnya berjaya sampai di rumah pak Itam dengan selamat. Berlatih agak kerap juga, bukan kerana saya inginkan tetapi abah sengaja menyuruh saya ke sana dan ke sini dengan motosikal. Saya agak cekap ketika itu tetapi jika hari ini mungkin perasaan hari pertama belajar menunggang akan muncul semula.

Suara abah masih jelas kedengaran di corong telefon dan itu adalah kali terakhir saya berbual dengan abah. Saya memberitahu abah yang tiket untuk ke Hong Kong telah saya ambil. Suara abah lemah, dia menahan pun tidak, menyuruh pun tidak. Abah hanya menyatakan jika saya pergi sekarang pasti nanti mayat abah pun saya tidak akan dapat lihat. Saya anggap itu gurauan abah sahaja.

Saya menelefon mak bertanya khabar sebulan selepas saya meninggalkan tanah air. Suara mak perlahan menyapa. Saya tanyakan tentang kesihatan abah kerana dia sering kena asma. Mak memberitahu saya, abah sudah tidak ada. Saya jawab, abah siapa yang dah tidak ada. Mak kata, abah saya dah pergi untuk selamanya. Seakan hali lintar menerjah otak saya, lidah kelu dan terpinga-pinga. Saya matikan talian telefon lalu melangkah lemah hingga ke bucu katil. Teringang suara abah kali terakhir, itu bukan gurauan mungkin abah sudah dapat rasakan yang dia akan pergi. Meluncur laju air mata tanpa henti dan saya meratap pemergian abah di setiap ruang yang ada ketika berseorangan selama sebulan. Saya titipkan untuk abah  doa. Setiap kali terlelap wajah abahlah yang hadir di dalam mimpi saya.

Akhirnya saya dapat pulang ke kampung untuk bertemu abah. Cuma, kali ini pertemuan kami amat berbeza. Tiada lagi gelak tawa abah apabila mendengar saya berceloteh. Tiada lagi usapan di kepala setiap kali berjumpa abah. Dia abah saya dan kasih sayang ini tidak akan terhenti di sini. Al-Fatihah untuk abah.

Menetap di China (Bahagian 5)

Teks : Rozie Wahid

Musim banjir yang sedang melanda di Pantai Timur ketika ini mengingatkan saya pada kejadian banjir di Guangzhou, China. Di sana musim hujan akan bermula selalunya pada bulan Ogos setiap tahun. Saya memang selalu merasa pelik kenapa setiap tahun apabila taufan melanda sering diberi nama pada taufan itu dengan menggunakan nama wanita. Agaknya kerana bila perempuan mengamuk macam taufan, terasa hati juga kerana saya kan wanita.

Berbalik semula cerita banjir. Hujan sudah beberapa hari tanpa henti dan itu sudah kami jangkakan jika masuk sahaja bulan Ogos. Rutin saya akan ke pasar untuk membeli barang basah setiap dua hari kerana saya dan suami amat mementingkan kesegaran. Suami pula adalah seorang yang tidak mengambil daging merah atau putih. Dia hanya makan ikan dan tiada masalah untuk saya mendapatkan ikan yang segar kerana kebanyakan peniaga menjual ikan yang masih hidup.

Saya agak terkejut apabila mendapat panggilan dari pihak management memberitahu yang bahagian tempat letak kereta di aras bawah, pintu masuknya terpaksa ditutup kerana air deras sudah mula memenuhi seluruh ruang. Mereka khuatir keselamatan kenderaan kami. Seketika merasa lega apabila teringatkan kereta saya di bawah namun, saya baru tersedar yang mereka memberitahu tentang keadaan di luar sudah mula banjir. Bergegas saya ke balkoni dan mata saya terpanah memandang air yang sudah semakin meningkat naik. Hati saya begetar apabila mengingatkan suami yang masih di pejabat. Dari pandangan di balkoni saya tidak pasti hingga paras mana air banjir ketika itu. Suami sampai di rumah agak lewat kerana kereta ditinggalkan di pejabat dan dia terpaksa meredah banjir yang sudah pun di paras lutut.

Pagi itu panggilan kecemasan dari pejabat memerlukan suami ke sana. Hati rasa kurang risau apabila salah seorang staf dari pejabat datang ke rumah untuk menemaninya. Saya melepaskan suami dengan doa agar dia pergi dan balik dengan selamat. Menjelang petang hujan masih belum berhenti, namun hati rasa agak yakin untuk turun ke bawah membeli sedikit barang basah. Mengenangkan suami gemar minum sup setiap hari sementalah hari hujan dan cuaca sejuk, saya rasa perlu mencari sesuatu untuk menyediakan hidangan yang dia gemari.

Setiba di bawah mata liar melihat kiri dan kanan dan kelihatan ramai juga yang meredah air. Saat saya masukkan kaki ke dalam air terasa kesejukannya. Perasaan ini sudah lama saya tidak rasai. Kali terakhir meredah banjir adalah semasa saya kecil dulu sewaktu di kampung. Air sudah sampai sejengkal lagi dari pinggang berbanding semalam hanya paras lutut. Menggenggam bara biar jadi arang orang tua-tua kata, lalu saya redah dengan berhati-hati menuju ke pasar berhampiran. Para peniaga meletakkan barang niaga di tempat yang agak tinggi dan tidak begitu sukar untuk saya mendapatkan bekalan makanan. Ramai juga suri seperti saya yang mencari sesuatu untuk dimasak.


Semasa saya menghidangkan makan malam, suami agak terkejut melihat lauk pauk yang terhidang. Raut wajah yang marah dipamirkan kepada saya kerana saya membahayakan diri tanpa bertanya padanya dahulu sebelum ingin meredah banjir seorang diri. Sambil menggelengkan kepala dia menghirup sup. Tangannya mencapai tangan saya yang masih berdiam diri tanda bersalah. Saya tahu suami pasti risau dan gusarkan keselamatan saya di negara orang. Namun, sebagai isteri saya rasakan kepuasan dapat melihat suami menikmati makan malam. Hilang semua rasa takut meredah banjir apabila memandang wajah suami yang kekenyangan.