Ketika saya menulis
entri ini, usia abah menjadi penghuni dunia abadi hampir melangkah 20 tahun.
Namun, perasaan saya sebagai anak kepada seorang lelaki yang saya panggil abah
masih mendalam. Setiap bait-bait kenangan bersamanya masih segar di ingatan
saya.
Semasa
saya kecil, setiap kali saya sakit atau disakiti saya akan menangis sambil
memanggil abah. Walaupun abah tampak garang dengan misainya, namun hanya dia
sahaja yang saya inginkan. Perangai menangis memanggil abah ini terbawa-bawa
hingga saya 16-17 tahun tetapi hanya untuk telinga saya sahaja. Malu pulak
kalau ada orang dengar.
Abahlah
yang mengajar saya mengayuh basikal. Dia pegang tempat duduk belakang sambil
menolak basikal dan berteriak memberi semangat supaya saya terus mengayuh ke
hadapan. Berderai tawa abah apabila melihat saya terjatuh beberapa kali. Rasa
hendak menangis pun hilang apabila melihat abah tertawa.
Abah
jugalah mengajar saya menunggang motosikal. Pada bulan puasa selalu cuaca agak
terik dan kami adik beradik sering nampak keletihan dan bosan sambil menunggu
waktu berbuka. Hari itu abah mengajak saya untuk pergi ke rumah pak Itam, tapi
kali ini berbeza kerana abah suruh saya duduk di hadapan. Abah sudah menghidu
ketakutan saya lalu ditariknya tangan saya sambil memujuk yang dia sentiasa ada
di belakang dan tidak akan biarkan saya jatuh. Saya gagahi juga dan akhirnya berjaya
sampai di rumah pak Itam dengan selamat. Berlatih agak kerap juga, bukan kerana
saya inginkan tetapi abah sengaja menyuruh saya ke sana dan ke sini dengan
motosikal. Saya agak cekap ketika itu tetapi jika hari ini mungkin perasaan
hari pertama belajar menunggang akan muncul semula.
Suara
abah masih jelas kedengaran di corong telefon dan itu adalah kali terakhir saya
berbual dengan abah. Saya memberitahu abah yang tiket untuk ke Hong Kong telah
saya ambil. Suara abah lemah, dia menahan pun tidak, menyuruh pun tidak. Abah
hanya menyatakan jika saya pergi sekarang pasti nanti mayat abah pun saya tidak
akan dapat lihat. Saya anggap itu gurauan abah sahaja.
Saya
menelefon mak bertanya khabar sebulan selepas saya meninggalkan tanah air.
Suara mak perlahan menyapa. Saya tanyakan tentang kesihatan abah kerana dia
sering kena asma. Mak memberitahu saya, abah sudah tidak ada. Saya jawab, abah
siapa yang dah tidak ada. Mak kata, abah saya dah pergi untuk selamanya. Seakan
hali lintar menerjah otak saya, lidah kelu dan terpinga-pinga. Saya matikan
talian telefon lalu melangkah lemah hingga ke bucu katil. Teringang suara abah kali
terakhir, itu bukan gurauan mungkin abah sudah dapat rasakan yang dia akan
pergi. Meluncur laju air mata tanpa henti dan saya meratap pemergian abah di
setiap ruang yang ada ketika berseorangan selama sebulan. Saya titipkan untuk
abah doa. Setiap kali terlelap wajah
abahlah yang hadir di dalam mimpi saya.
Akhirnya
saya dapat pulang ke kampung untuk bertemu abah. Cuma, kali ini pertemuan kami
amat berbeza. Tiada lagi gelak tawa abah apabila mendengar saya berceloteh.
Tiada lagi usapan di kepala setiap kali berjumpa abah. Dia abah saya dan kasih
sayang ini tidak akan terhenti di sini. Al-Fatihah untuk abah.
No comments:
Post a Comment