Musim banjir yang
sedang melanda di Pantai Timur ketika ini mengingatkan saya pada kejadian
banjir di Guangzhou, China. Di sana musim hujan akan bermula selalunya pada
bulan Ogos setiap tahun. Saya memang selalu merasa pelik kenapa setiap tahun
apabila taufan melanda sering diberi nama pada taufan itu dengan menggunakan
nama wanita. Agaknya kerana bila perempuan mengamuk macam taufan, terasa hati
juga kerana saya kan wanita.
Berbalik
semula cerita banjir. Hujan sudah beberapa hari tanpa henti dan itu sudah kami
jangkakan jika masuk sahaja bulan Ogos. Rutin saya akan ke pasar untuk membeli
barang basah setiap dua hari kerana saya dan suami amat mementingkan kesegaran.
Suami pula adalah seorang yang tidak mengambil daging merah atau putih. Dia
hanya makan ikan dan tiada masalah untuk saya mendapatkan ikan yang segar
kerana kebanyakan peniaga menjual ikan yang masih hidup.
Saya
agak terkejut apabila mendapat panggilan dari pihak management memberitahu yang
bahagian tempat letak kereta di aras bawah, pintu masuknya terpaksa ditutup kerana
air deras sudah mula memenuhi seluruh ruang. Mereka khuatir keselamatan
kenderaan kami. Seketika merasa lega apabila teringatkan kereta saya di bawah
namun, saya baru tersedar yang mereka memberitahu tentang keadaan di luar sudah
mula banjir. Bergegas saya ke balkoni dan mata saya terpanah memandang air yang
sudah semakin meningkat naik. Hati saya begetar apabila mengingatkan suami yang
masih di pejabat. Dari pandangan di balkoni saya tidak pasti hingga paras mana
air banjir ketika itu. Suami sampai di rumah agak lewat kerana kereta
ditinggalkan di pejabat dan dia terpaksa meredah banjir yang sudah pun di paras
lutut.
Pagi
itu panggilan kecemasan dari pejabat memerlukan suami ke sana. Hati rasa kurang
risau apabila salah seorang staf dari pejabat datang ke rumah untuk
menemaninya. Saya melepaskan suami dengan doa agar dia pergi dan balik dengan
selamat. Menjelang petang hujan masih belum berhenti, namun hati rasa agak
yakin untuk turun ke bawah membeli sedikit barang basah. Mengenangkan suami
gemar minum sup setiap hari sementalah hari hujan dan cuaca sejuk, saya rasa
perlu mencari sesuatu untuk menyediakan hidangan yang dia gemari.
Setiba
di bawah mata liar melihat kiri dan kanan dan kelihatan ramai juga yang meredah
air. Saat saya masukkan kaki ke dalam air terasa kesejukannya. Perasaan ini
sudah lama saya tidak rasai. Kali terakhir meredah banjir adalah semasa saya
kecil dulu sewaktu di kampung. Air sudah sampai sejengkal lagi dari pinggang berbanding
semalam hanya paras lutut. Menggenggam bara biar jadi arang orang tua-tua kata,
lalu saya redah dengan berhati-hati menuju ke pasar berhampiran. Para peniaga
meletakkan barang niaga di tempat yang agak tinggi dan tidak begitu sukar untuk
saya mendapatkan bekalan makanan. Ramai juga suri seperti saya yang mencari
sesuatu untuk dimasak.
Semasa
saya menghidangkan makan malam, suami agak terkejut melihat lauk pauk yang
terhidang. Raut wajah yang marah dipamirkan kepada saya kerana saya
membahayakan diri tanpa bertanya padanya dahulu sebelum ingin meredah banjir
seorang diri. Sambil menggelengkan kepala dia menghirup sup. Tangannya mencapai
tangan saya yang masih berdiam diri tanda bersalah. Saya tahu suami pasti risau
dan gusarkan keselamatan saya di negara orang. Namun, sebagai isteri saya
rasakan kepuasan dapat melihat suami menikmati makan malam. Hilang semua rasa
takut meredah banjir apabila memandang wajah suami yang kekenyangan.
No comments:
Post a Comment