Dapur adalah ruang yang
paling saya suka dan gemar untuk berada. Pastinya ligat kepala saya memikirkan
resepi apa untuk dihidangkan untuk keluarga. Sejak akhir-akhir saya teringat akan sambal yang saya makan
ketika berada di Medan, Indonesia ketika berkunjung ke rumah kenalan di sana.
Saya mencari bahannya lalu menyiapkan ke dalam
bekas-bekas kecil. Saya jadikan satu sumbangan kecil setiap kali menziarahi
kawan atau keluarga dengan niat hanya untuk berkongsi sahaja. Tanpa di sangka
apabila mereka kehabisan sambal lalu menelefon saya untuk menempah. Pada
mulanya saya menolak untuk berurus niaga kerana itu hanya pemberian ikhlas.
Namun, mereka tidak mahu menerima pemberian itu jika saya tidak menetapkan harga
sambal berkenaan.
Akhirnya saya mengira setiap kos bahan ditambah dengan
kos berkaitan dan upah kerja saya. Membandingkan juga dengan harga sambal yang
berada di pasaran mengikut berat sambal pada setiap bekas. Saya mulai membuat
sambal secara skala kecil untuk stok yang ditempah. Ia hanya dibuat mengikut
tempahan kerana saya tidak suka menyimpan stok agar setiap kali ada tempahan,
mereka akan menerima stok yang segar. Tiada bahan pengawet atau bahan terlarang
yang saya letakkan agar kesegaran dan kesedapan asli dapat dirasai. Sekali
sekala jika ada yang memintanya, saya pasti akan menyediakan kerana bukan wang
sahaja yang dipandang tetapi hati rasa senang apabila dapat membuat orang lain
gembira. Sambal ini adalah sambal hijau ikan masin. Agak pedas sedikit kerana
menggunakan seratus peratus cili padi. Boleh dimakan begitu sahaja dengan nasi
panas atau dibuat sebagai rencah nasi goreng.
No comments:
Post a Comment