Sunday, 26 October 2014

Catatan Kenangan

Teks : Rozie Wahid

Pengalaman pahit dalam perniagaan ada banyak. Salun kecantikan saya terletak di rumah kedai di aras 1. Sesiapa yang ingin datang perlu menapak ke tingkat 1. Setiba di situ akan kelihatan pintu kaca yang telus. Perlu menekan butang loceng untuk masuk. Salun saya beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Saya dan suami akan makan malam di salun dan selepas maghrib baru pulang ke rumah. Itulah rutin harian kam sekeluarga.

     Pada hari kejadian itu saya sedang menyiapkan makan malam sementara menunggu suami pulang dari pejabat. Loceng pintu berbunyi bertalu-talu. Pelik betul siapalah yang tekan loceng sampai nak pecah tu, bisik hati saya. Saya terus meluru ke pintu supaya orang yang menekan loceng itu berhenti tekan.

   Terbuntang mata melihat di depan pintu kaca berdiri suami saya yang masih segak bertali leher namun, di sebelahnya berdiri dua orang lelaki sedang memegang parang yang dihalakan ke leher suami. Saya tergamam sebentar hingga suami menekan lagi loceng apabila dia melihat saya tidak mara ke pintu.

    Mengigil lutut dan tangan sambil langkah perlahan mendekati pintu. Sel-sel otak terhenti seketika untuk membuat tindakan selanjutnya. Mereka menolak daun pintu dengan rakusnya sambil menolak tubuh suami ke arah saya. Kami berpegangan tangan yang kesejukandan tergetar. Mereka adalah perompak yang agak berani dan berlagak. Tanpa rasa risau, kedua-dua lelaki berbangsa cina itu tidak menutup muka. Saya agak umur lingkungan 30an dan bertubuh gempal.

    Kami dipaksa berlutut. Rasa jantung saya hampir tercabut apabila lelaki itu meletakkan parang di leher saya. Pantas jari jemari saya mencabut rantai, gelang dan cincin dari tubuh sambil mohon agar saya tidak diapakan. Otak fikiran hanya terfikirkan bayi sulong yang masih baru dalam kandungan saya. Lelaki bermuka garang pula merayau ke seluruh salun untuk mengambil hasil jualan dan barang berharga yang lain.

    Saat yang paling saya tidak boleh lupakan apabila ketika mereka keluar meninggalkan kami sambil memberi amaran untuk tidak melaporkan pada polis. Mereka tertinggal satu beg hitam di sebelah saya. Pantas suami mencapai beg itu lalu berteriak pada mereka sambil tangan menunjuk beg yang tertinggal. Lelaki bermuka garang itu berlari menaiki tangga semula dan mengambil beg.

“Kenapa you panggil dia semula?” tanya saya.

“Kalau tak kasi sekarang, takut dia datang lagi,” balas suami.

Pengalaman perniagaan

Teks : Rozie Wahid

Idaman Beauty House nama salun kecantikan yang diberi. Tidak pernah terlintas di hati untuk membuka salun kecantikan. Selepas mendapat sijil krusus kecantikan dengan dorongan suami, salun beroperasi di rumah. Saya hanya menggunakan satu bilik kosong untuk permulaan. Tujuannya adalah untuk melihat potensi produk yang baru saja dilancarkan di pasaran Malaysia.

  Salun beroperasi selama 6 bulan di rumah, produk telah mendapat sambutan yang agak menggalakkan selepas pelbagai cara promosi dan iklan bagi perkenalkan produk tersebut. Ketika itu saya mengambil keputusan untuk berpindah salun ke rumah kedai di tingkat 1 berdekatan dengan rumah. Promosi di hari pertama pembukaan salun diadakan. Takut juga kalau tidak ramai yang akan hadir. Syukur tidak terhingga apabila pada waktu pembukaan agak penuh sesak salun dibanjiri peminat produk kecantikan.

    Sejak itu salun saya menjadi sebutan kawasan setempat. Pelanggan dari yang remaja bermasalah jerawat kepada yang dewasa penuh jeragat. Senyum hingga ke telinga apabila mendapat kulit yang bersih dan cantik. Pelanggan dari golongan suri kepada pekerja atasan. Ada juga yang sekarang sudah pun menjadi bekas menteri, siapa sangka dulu saya pernah mengauli wajah mereka.

   Saya berhenti menjalankan perniagaan ini atas sebab yang tidak dapat saya elakkan. Sudah ketentuaan Allah, saya perlu memberi lebih perhatian pada kesihatan suami ketika itu.

Siapa tak sayang suami, ya dak?  

Thursday, 16 October 2014

Warisan Kita

Teks dan foto : Rozie Wahid

Isu Sekolah Vernacular diperkatakan dengan agak lantang sejak akhir-akhir ini. Saya bukanlah seorang ahli politik, orang kementerian pendidikan atau pembangkang. Saya hanyalah seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata yang terlibat secara langsung di dalam sekolah vernacular cina. Saya hanya memandang dari sudut yang positif demi kepentingan dan masa depan anak-anak saya. 

         
Ini adalah anak sulong saya, kak long. Bersekolah di SJKC dari darjah 1 hingga ke darjah 6. Sepanjang persekolahan dia di situ, ada beberapa kali kes buli yang terjadi. Amat menyedihkan rakan yang membulinya bukan rakan berbangsa cina tetapi rakan lelaki berbangsa melayu. Di situ kak long mula memilih untuk tidak bergaul dengan rakan berbangsa melayu kerana trauma.

Kini kak long sudah menjangkau usia 14 tahun dan bersekolah di Sekolah Menengah. Di sekolah aliran kerajaan ini, peratus murid berbangsa melayu hanya separuh dari bangsa lain. Kes buli dilalui sekali lagi dan kali ini dengan keadaan yang lebih teruk. Pembuli adalah seorang pelajar perempuan berbangsa melayu. Saya tidak berdiam diri melihat puteri sulong saya diperlakukan sebegitu. Alhamdulillah, kes selesai dengan satu surat permohonan siasatan kepada pengetua dan guru disiplin. Kak long lebih selesa dikalangan rakan berbangsa cina.

       
Ini pula adalah anak bujang saya, Ammar. Bersekolah di SJKC juga dari darjah 1 hingga sekarang darjah 3. Ammar bergaul dengan rakan berbangsa cina kerana di zaman tadika, pusat jagaan dan sekolah rendah, Ammar sudah kebiasaan begitu.
Alhamdulillah, hingga sekarang Ammar tidak pernah sekali pun dibuli atau dikasari oleh rakan pelajar. Kemungkinan Ammar adalah salah seorang pelajar taekwando.

        
Jazmeen adalah anak bongsu saya. Pendedahan Jazmeen di alam pusat jagaan adalah agak awal iaitu ketika dia 2 tahun. Dari pusat jagaan hingga tadika, Jazmeen di dalam chinese medium. Seawal Jazmeen lancar bercakap, dia bergaul dengan rakan berbangsa cina. Saya akui pertuturan dan pemahaman bahasa cina dia adalah lebih dari bahasa melayu. Lagi setahun dia akan bersekolah di SJKC bersama abangnya Ammar.


Kesimpulannya, selama anak-anak saya bersekolah di SJKC, tadika atau pusat jagaan yang beraliran cina, saya tidak nampak adanya masalah besar. Alhamdulillah tiada rasis diamalkan berbanding pengalaman kak long di sekolah menengah aliran kerajaan. Mereka terlalu muda untuk bercakap mengenai politik namun, kebanyakkan fikiran mereka telah diterapkan untuk membenci pemerintah, membenci berlainan bangsa. Pada pendapat saya, amalan ini adalah tidak sihat. Kita sebagai ibu bapa sepatutnya tidak bercerita mengenai politik serta memburukkan pemerintah dan kerajaan. Kita sepatutnya menerapkan nilai-nilai murni terutama diantara berlainan bangsa dan pada setiap jiwa suci anak-anak. Moga satu hari nanti kita tidak akan jumpa lagi bacaan-bacaan status di FB, IG atau Twitter yang memaki hamun serta menulis perkataan yang kasar sesama kita. Hilang adab terhapuslah akhlak.


Wednesday, 15 October 2014

Kenali saya

Teks : Rozie Wahid

Salam Perkenalan,

Rozie adalah nama yang dipilih oleh abang sulong saya. Emak pula berhajat untuk menamakan Rozita pada puterinya yang ke 6 ini. Akhirnya abang saya menang dalam undian. Nama gelaran saya pula adalah Gee. Rakan di kampung halaman sering memanggil saya dengan nama seperti Ujin, Ojin dan ada juga yang nakal memanggil saya Jin. Saat itu terasa tidak selesa dan geram tetapi bila teringat nostalgia zaman kanak-kanak boleh tersenyum sendirian.

   Dilahirkan dalam daerah Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Zaman persekolahan, separuh kehidupan di Batu Pahat dan separuh lagi di Klang, Selangor. Zaman dewasa pula di Kuala Lumpur, Hong Kong, China dan sekarang di Selangor kembali.

   Saya berlatar pendidikan kesetiausahaan dengan pengalaman bekerja sebagai setiausaha di beberapa buah syarikat di Kuala Lumpur. Disamping itu, seketika saya menceburkan diri dalam bidang peragaan pakaian di majalah-majalah tempatan. Bertukar bidang dalam bidang perniagaan, dan syarikat pertama saya, Idaman Beauty House adalah sebuah pusat kecantikan. Salun kecantikan saya adalah salah satu outlet bagi produk BML ketika diawal kemunculan produk tersebut di pasaran. Setelah beberapa tahun sekali lagi saya mencuba nasib dengan menukar arah tuju kepada bidang yang lebih mencabar dengan menubuhkan syarikat United Merge Sdn Bhd pada 13 tahun yang lalu. Syarikat ini memberi tumpuan usaha sama dengan sektor kerajaan.

  Saya membina keluarga yang sederhana besar bersama 3 orang permata hati yang menjadikan hidup saya lebih indah. Saya mengamalkan cara hidup yang sederhana. 

   Minat saya adalah membaca dari novel cinta, keluarga, seram, selain surat khabar fizikal atau online dan status FB rakan-rakan. Saya amat kurang menonton televisyen. Dalam satu hari saya menghabiskan waktu membaca yang agak lama selain dari kerja harian sebagai seorang ibu dan peniaga.

   Segalanya bermula dengan impian. Di usia yang semakin menaiki tangga masa dewasa madya ini, saya mempunyai banyak impian. Diantara impian saya ialah saya ingin menjadi penulis, saya ingin menukar bidang perniagaan yang sedia ada dengan perjalanan hala tuju perniagaan yang lebih bersih. Saya juga inginkan pengakhiran hidup yang lebih tenang.

   Berlandaskan impian yang saya ada, saya telah memilih untuk menjadi sebahagian dari keluarga ABDR. Saya tahu dan yakin di sini titik mula impian saya dicaturkan. Saya ingin terus melangkah hingga ke ‘Checkmate’.