Thursday, 16 October 2014

Warisan Kita

Teks dan foto : Rozie Wahid

Isu Sekolah Vernacular diperkatakan dengan agak lantang sejak akhir-akhir ini. Saya bukanlah seorang ahli politik, orang kementerian pendidikan atau pembangkang. Saya hanyalah seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata yang terlibat secara langsung di dalam sekolah vernacular cina. Saya hanya memandang dari sudut yang positif demi kepentingan dan masa depan anak-anak saya. 

         
Ini adalah anak sulong saya, kak long. Bersekolah di SJKC dari darjah 1 hingga ke darjah 6. Sepanjang persekolahan dia di situ, ada beberapa kali kes buli yang terjadi. Amat menyedihkan rakan yang membulinya bukan rakan berbangsa cina tetapi rakan lelaki berbangsa melayu. Di situ kak long mula memilih untuk tidak bergaul dengan rakan berbangsa melayu kerana trauma.

Kini kak long sudah menjangkau usia 14 tahun dan bersekolah di Sekolah Menengah. Di sekolah aliran kerajaan ini, peratus murid berbangsa melayu hanya separuh dari bangsa lain. Kes buli dilalui sekali lagi dan kali ini dengan keadaan yang lebih teruk. Pembuli adalah seorang pelajar perempuan berbangsa melayu. Saya tidak berdiam diri melihat puteri sulong saya diperlakukan sebegitu. Alhamdulillah, kes selesai dengan satu surat permohonan siasatan kepada pengetua dan guru disiplin. Kak long lebih selesa dikalangan rakan berbangsa cina.

       
Ini pula adalah anak bujang saya, Ammar. Bersekolah di SJKC juga dari darjah 1 hingga sekarang darjah 3. Ammar bergaul dengan rakan berbangsa cina kerana di zaman tadika, pusat jagaan dan sekolah rendah, Ammar sudah kebiasaan begitu.
Alhamdulillah, hingga sekarang Ammar tidak pernah sekali pun dibuli atau dikasari oleh rakan pelajar. Kemungkinan Ammar adalah salah seorang pelajar taekwando.

        
Jazmeen adalah anak bongsu saya. Pendedahan Jazmeen di alam pusat jagaan adalah agak awal iaitu ketika dia 2 tahun. Dari pusat jagaan hingga tadika, Jazmeen di dalam chinese medium. Seawal Jazmeen lancar bercakap, dia bergaul dengan rakan berbangsa cina. Saya akui pertuturan dan pemahaman bahasa cina dia adalah lebih dari bahasa melayu. Lagi setahun dia akan bersekolah di SJKC bersama abangnya Ammar.


Kesimpulannya, selama anak-anak saya bersekolah di SJKC, tadika atau pusat jagaan yang beraliran cina, saya tidak nampak adanya masalah besar. Alhamdulillah tiada rasis diamalkan berbanding pengalaman kak long di sekolah menengah aliran kerajaan. Mereka terlalu muda untuk bercakap mengenai politik namun, kebanyakkan fikiran mereka telah diterapkan untuk membenci pemerintah, membenci berlainan bangsa. Pada pendapat saya, amalan ini adalah tidak sihat. Kita sebagai ibu bapa sepatutnya tidak bercerita mengenai politik serta memburukkan pemerintah dan kerajaan. Kita sepatutnya menerapkan nilai-nilai murni terutama diantara berlainan bangsa dan pada setiap jiwa suci anak-anak. Moga satu hari nanti kita tidak akan jumpa lagi bacaan-bacaan status di FB, IG atau Twitter yang memaki hamun serta menulis perkataan yang kasar sesama kita. Hilang adab terhapuslah akhlak.


No comments:

Post a Comment