Sunday, 26 October 2014

Catatan Kenangan

Teks : Rozie Wahid

Pengalaman pahit dalam perniagaan ada banyak. Salun kecantikan saya terletak di rumah kedai di aras 1. Sesiapa yang ingin datang perlu menapak ke tingkat 1. Setiba di situ akan kelihatan pintu kaca yang telus. Perlu menekan butang loceng untuk masuk. Salun saya beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Saya dan suami akan makan malam di salun dan selepas maghrib baru pulang ke rumah. Itulah rutin harian kam sekeluarga.

     Pada hari kejadian itu saya sedang menyiapkan makan malam sementara menunggu suami pulang dari pejabat. Loceng pintu berbunyi bertalu-talu. Pelik betul siapalah yang tekan loceng sampai nak pecah tu, bisik hati saya. Saya terus meluru ke pintu supaya orang yang menekan loceng itu berhenti tekan.

   Terbuntang mata melihat di depan pintu kaca berdiri suami saya yang masih segak bertali leher namun, di sebelahnya berdiri dua orang lelaki sedang memegang parang yang dihalakan ke leher suami. Saya tergamam sebentar hingga suami menekan lagi loceng apabila dia melihat saya tidak mara ke pintu.

    Mengigil lutut dan tangan sambil langkah perlahan mendekati pintu. Sel-sel otak terhenti seketika untuk membuat tindakan selanjutnya. Mereka menolak daun pintu dengan rakusnya sambil menolak tubuh suami ke arah saya. Kami berpegangan tangan yang kesejukandan tergetar. Mereka adalah perompak yang agak berani dan berlagak. Tanpa rasa risau, kedua-dua lelaki berbangsa cina itu tidak menutup muka. Saya agak umur lingkungan 30an dan bertubuh gempal.

    Kami dipaksa berlutut. Rasa jantung saya hampir tercabut apabila lelaki itu meletakkan parang di leher saya. Pantas jari jemari saya mencabut rantai, gelang dan cincin dari tubuh sambil mohon agar saya tidak diapakan. Otak fikiran hanya terfikirkan bayi sulong yang masih baru dalam kandungan saya. Lelaki bermuka garang pula merayau ke seluruh salun untuk mengambil hasil jualan dan barang berharga yang lain.

    Saat yang paling saya tidak boleh lupakan apabila ketika mereka keluar meninggalkan kami sambil memberi amaran untuk tidak melaporkan pada polis. Mereka tertinggal satu beg hitam di sebelah saya. Pantas suami mencapai beg itu lalu berteriak pada mereka sambil tangan menunjuk beg yang tertinggal. Lelaki bermuka garang itu berlari menaiki tangga semula dan mengambil beg.

“Kenapa you panggil dia semula?” tanya saya.

“Kalau tak kasi sekarang, takut dia datang lagi,” balas suami.

No comments:

Post a Comment