Setiap kali saya
pandang wajah anak sulong, saya akan teringat pada suami yang tercinta. Kata
orang kalau anak perempuan persis wajah ayahnya, sejuk.
Salah
satu sebab utama kami pulang ke tanah air dulu adalah kerana suami inginkan
rawatan dijalankan dengan lebih terperinci di sini. Setiap setahun sekali kami
akan membuat ujian darah. Keputusan ujian darah ketika itu menunjukkan
kesihatan suami tidak begitu baik. Oleh kerana doktor meminta kami untuk pulang
bagi ujian lanjutan buah pinggang, kami mengambil keputusan untuk pulang dan
menetap di Kuala Lumpur.
Pada
bulan Oktober 1999, suami saya disahkan mengalami kerosakan di kedua-dua buah
pinggang. Kami agak terkejut kerana suami amat mementingkan kesihatan, cuma
suami adalah seorang perokok tegar dan itu juga salah satu puncanya kata
doktor. Kami menerima dengan redha dan suami perlu menjalani rawatan dialysis.
Sebulan rawatan dialysis seminggu sekali telah menjadi setiap selang sehari.
Tubuhnya yang agak gempal semakin susut dan kurus kerana banyak berpantang
dalam makanan dan minuman. Segalanya kena mengikut jadual doktor.
Hati
isteri mana yang tidak runtun apabila melihat keadaan suami. Saya menawarkan
diri untuk menderma satu buah pinggang saya kepada suami. Keputusan ujian
keserasian saya lulus adalah berita yang amat gembira. Namun beberapa hari lagi
tarikh pembedahan akan dijalankan, suami dikejarkan ke hospital. Doktor tidak
pasti dengan keadaan suami dan katanya pembedahan adalah tidak sesuai ketika
itu. Senyuman kami terhenti.
Pada
ketika itu juga saya disahkan hamil. Kami menjadi serba salah dengan keadaan
kesihatan suami dan berita kehamilan saya. Adakah perlu bergembira atau
bersedih. Akhirnya kami hanya terdiam. Saya berjumpa dengan doktor gyne bagi
menjalani ujian kandungan sama ada selamat untuk diteruskan atau akan
menjejaskan kesihatan fetus. Seminggu menanti dengan gelisah ujian yang
dihantar ke singapura. Akhirnya kami mendapat perkhabaran dari doktor bahawa
fetus tidak terjejas dan boleh diteruskan.
Tahap
kesihatan suami semakin menurun dan hospital menjadi rumah ke dua kami. Suami
sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaannya. Dia mula membuat persediaan
bagi menyambut kehadiran anak pertama kami. Namun, ketika usia kehamilan mencecah
6 bulan, suami telah dikejarkan ke hospital lagi. Kali ini sedikit berbeza
kerana tanda-tanda kegagalan buah pinggang bukan lagi puncanya. Doktor membuat
beberapa ujian lagi dan selepas beberapa hari di situ, doktor memanggil saya. Hali
lintar menerjah ke saraf otak. Keputusan ujian memberi bacaan bahawa suami
mengidap kanser. Doktor tidak boleh memberikan kata putus jenis kanser yang
dihadapi, yang pasti virus kanser telah mula merebak ke hati.
Alhamdulillah
saya bersalin dengan selamat. Dalam kerisauan melihat keadaan suami, saya
terbuai melihat bayi yang comel di pangkuan. Suami adalah insan yang amat
gembira apabila mendapat bayi perempuan. Hilang semua rasa sakit dicucuk jarum
besar dialysis apabila pulang ke rumah menatap wajah anak.
Kami
tidak pernah berputus asa untuk mencari punca virus kanser. Doktor pakar di
Malaysia semua telah kami cuba dan akhirnya doktor telah mencadangkan kami ke
Singapura untuk berjumpa pakar kanser di sana. Kami pergi untuk menjalani
beberapa kali biaopsi bagi mencari jenis kanser apakah yang sedang menyerang
dan apakah puncanya serta jalan penyelesaian. Berulang alik beberapa kali ke
singapura dan akhirnya Dr Benjamin dari UHS memberitahu bahawa suami saya
mengidap kanser darah di dalam tulang sum-sum. Beliau memberitahu suami hanya
ada 6 bulan sahaja untuk hidup. Perkara pertama yang terkeluar dari mulut suami
ketika itu adalah ‘baby kita’. Ya, baby kami baru berusia 7 bulan dan otak saya
beku untuk memikirkan apa-apa.
Dua
bulan selepas itu, suami harus ke singapura lagi untuk ujian selanjutnya. Ya,
Oktober 2001 dan baby kami berusia 9 bulan. Sudah pandai memanggil ‘ma’dan
‘pa’. Suami mencium baby seolah tidak puas dan sebelum masuk ke kereta dia
berpusing lagi untuk mencium baby. Kelihatan air matanya hanya di tubir. Itulah
kali terakhir dia menatap wajah anaknya dan dia pergi menghadap Penciptanya di
katil hospital UHS, Singapura.
Hilang
semangat seketika dan terasa tubuh saya di awangan apabila doktor
mengistiharkan suami telah pergi. Saya terpinga-pinga. Saya faham yang kami
telah banyak kali berbual mengenai ini tetapi segalanya tidak sama perasaannya
apabila ketika waktu yang sebenar telah tiba. Demi anak kami yang masih baby
lagi saya kumpul semangat untuk meneruskan hidup tanpa suami. Saya tidak
terkata apa-apa bila cinta kami dia bawa bersama, hanya rindu peneman meniti
hidup. Selamat tinggal cinta hatiku.
14 tahun telah berlalu
namun rindu dan cinta ini masih milik dia. Moga dia damai di sana.
Siapalah saya untuk
mempersoalkan takdir.
No comments:
Post a Comment