Thursday, 26 November 2015

Lambaian Terakhir Andak

Teks dan foto : Rozie Wahid

‘Andak’ nama panggilan abang saya yang ke dua. Orangnya kurus tinggi, kulit sawo matang, hidung mancung terletak persis abah. Andak memang tampan, yang paling saya suka adalah senyuman andak.

Andak abang yang baik namun kenakalan terselah apabila bergaul dengan adik-adik. Dia rajin mengusik. Di mata mak, andak adalah pelindung apabila abah tiada di sisi. Cukup ada andak, mak pasti tidak takut duduk di rumah besarnya.

Andak dilahirkan cukup sifat dan sempurna kejadiannya namun ujian mendatang untuk mak abah dan kami apabila andak mendapat demam panas ketika berusia 9 tahun. 45 tahun yang dulu kedudukan rumah yang jauh dari bandar, kemudahan rumah sakit yang agak sukar untuk mak dan abah sampai dan ilmu perubatan yang kurang menyebabkan andak tidak dapat dirawat sebaiknya dan dia mengalami kekurangan cecair di dalam gegendang telinga sebelah kiri. Ia menyebabkan andak tidak dapat mengimbangi badan ketika  berdiri dan berjalan serta pendengaran agak kurang jelas.

Namun andak ditatang oleh kami seperti minyak yang penuh. Penuh dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Walaupun ketika muda, andak sering marah adik-adik yang suka menganggu dia menonton televisyen. Pasti adiknya itu tidak akan dapat gula-gula, ais cream atau Maggie yang dibeli sendiri di kedai pak Mat. Andak akan sengaja membuat adiknya kecur. Andak seorang pemain karom yang handal, ramai yang telah tewas di tangan andak. Tidak kurang juga andak suka mengejar adik-adik jika kami menyakitkan hatinya. Habis satu rumah dikejarnya.

Pada penghujung ramadhan, Andaklah orang yang paling sibuk. Membawa parang sambil berjalan walaupun tidak berapa stabil masuk ke kebun belakang rumah mencari buluh. Andak akan tersenyum puas apabila melihat adik-adik bersorak melihat pelita yang penuh di setiap ruang tanah depan rumah kami. Berlawan-lawan dengan pelita rumah jiran tetangga.

Terlalu banyak kenangan bersama andak. Melihat cara andak makan, melihat susuk tubuhnya berjalan, melihat dia tekun membuat bangku untuk mak, melihat dia mengutip durian di kebun belakang rumah, melihat dia mewarna lukisan. Andak adalah segalanya untuk mak.

Mak dan andak hanya tinggal berdua sahaja memandangkan semua adik beradik telah mempunyai keluarga sendiri. Mereka kami bawa tinggal di Damansara agar berdekatan dengan semua. Suatu hari ketika andak berusia 36 tahun, andak dimasukkan ke hospital selayang kerana diserang stroke. Selepas itu andak sudah tidak seceria dulu. Andak buang tongkat yang mak beri. Andak baling alat pendengaran yang mak letak di telinganya. Andak hanya akan duduk di biliknya mewarna buku lukisan sehinga letih. Andak akan berhenti rehat untuk makan dan tidur. Akhirnya berat badan andak bertambah dan andak diberitahu dia menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Walau begitu andak tetap tersenyum apabila kami menyapa. Setiap kali ramadhan andak masih ingin berpuasa sehingga mak tidak beritahu andak yang bulan itu bulan puasa. Andak sudah semakin kurus kerana kawalan makanan untuk penyakit kencing manis. Mak risau kerana andak tidak mampu berpuasa lagi. Andak juga amat rajin sembahyang. Mak sering memerhati jika andak solat, mak pasti menegur jika andak terlebih rakaat. Andak tidak menukar lagi tabiat suka membeli, pasti akan dikirim pada mak asam kecut, jeli, gula-gula, jagung rebus dan ais cream. Sesekali mak akan buatkan Maggie kari kegemaran andak.

Pada April 2014 andak tiba-tiba dikejarkan ke hospital kerana tersedak hingga sukar untuk bernafas. Petang itu kami mengelilingi katil andak, tubuh andak tidak bergerak lagi namun dadanya berombak perlahan. Puas kami usap, kami bisik memangil nama andak tetapi andak tidak membuka mata. Suasana suram menyelubungi kami sepanjang malam. Bacaan suci al-quran kami memperdengarkan di telinga andak. Mak membisikkan khalimah syahadah untuk andak ikut. Lelehan air mata andak jatuh apabila mak mengucapkan mak sayang andak, mak rindu andak, mak redha andak pergi. Mak kucup dahi dan pipi andak sepuasmya.

Keesokan pagi keadaan andak semakin kritikal, andak di sahkan meninggal dunia ketika usianya 52 tahun, pada 23 April 2014. Pemergian andak ditangisi oleh sesiapa pun yang mengenali andak kerana andak tiada ganti. Masih terbayang lambaian tangan andak bersama senyumannya yang seikhlas hati. Selamat jalan andak, insyaAllah kita akan bertemu lagi atas nama kasih sayang.




No comments:

Post a Comment