Sunday, 20 December 2015

Bila Hobi menjadi perniagaan

Teks dan foto : Rozie Wahid

Dapur adalah ruang yang paling saya suka dan gemar untuk berada. Pastinya ligat kepala saya memikirkan resepi apa untuk dihidangkan untuk keluarga. Sejak akhir-akhir  saya teringat akan sambal yang saya makan ketika berada di Medan, Indonesia ketika berkunjung ke rumah kenalan di sana.

            Saya mencari bahannya lalu menyiapkan ke dalam bekas-bekas kecil. Saya jadikan satu sumbangan kecil setiap kali menziarahi kawan atau keluarga dengan niat hanya untuk berkongsi sahaja. Tanpa di sangka apabila mereka kehabisan sambal lalu menelefon saya untuk menempah. Pada mulanya saya menolak untuk berurus niaga kerana itu hanya pemberian ikhlas. Namun, mereka tidak mahu menerima pemberian itu jika saya tidak menetapkan harga sambal berkenaan.


            Akhirnya saya mengira setiap kos bahan ditambah dengan kos berkaitan dan upah kerja saya. Membandingkan juga dengan harga sambal yang berada di pasaran mengikut berat sambal pada setiap bekas. Saya mulai membuat sambal secara skala kecil untuk stok yang ditempah. Ia hanya dibuat mengikut tempahan kerana saya tidak suka menyimpan stok agar setiap kali ada tempahan, mereka akan menerima stok yang segar. Tiada bahan pengawet atau bahan terlarang yang saya letakkan agar kesegaran dan kesedapan asli dapat dirasai. Sekali sekala jika ada yang memintanya, saya pasti akan menyediakan kerana bukan wang sahaja yang dipandang tetapi hati rasa senang apabila dapat membuat orang lain gembira. Sambal ini adalah sambal hijau ikan masin. Agak pedas sedikit kerana menggunakan seratus peratus cili padi. Boleh dimakan begitu sahaja dengan nasi panas atau dibuat sebagai rencah nasi goreng. 


Hobi menggumpul vase

Teks dan foto : Rozie Wahid

Setiap kali mata ini menatap pasu-pasu yang cantik itu, seakan terpanggil untuk menyentuhnya. Mata saya akan bersinar-sinar apabila melihat pasu-pasu itu kata suami. Saya hanya tersenyum malu kerana diperhatikan.

            Satu kumpulan rakan yang bekerja di China ingin pulang ke Malaysia untuk bercuti. Saya mengambil kesempatan itu untuk meminta mereka membawa pasu-pasu yang telah saya beli minggu sudah. Setelah siap dibalut kemas di dalam kotak yang disendal rapi, mereka datang ke rumah untuk membawanya. Saya berjanji apabila tiba masa saya pula kembali ke Kuala Lumpur, akan saya ambil semula dari rumah mereka.

            Mata ini sekali lagi tersenyum melihat pasu-pasu tersusun rapi di rak yang ditempah khas oleh suami. Terima kasih tidak terhingga kepada encik suami yang amat memahami minat isterinya ini. Entah kenapa hati saya telah jatuh cinta pada bentuk dan ukiran.

            Di bawah adalah sebahagian dari koleksi yang ada dan saya tidak berjanji untuk berhenti dari terus mencari koleksi seterusnya kerana ada kebahagiaan yang tercipta.



Monday, 30 November 2015

Dari hobi tidak sengaja menjadi perniagaan

Teks : Rozie Wahid

Salah satu hobi yang saya ada adalah suka memasak. Ketika muda remaja dahulu tidak pernah terfikir di benak jiwa ini yang saya akan suka memasak. Saya hanya pandai masak nasi dan goreng telur sahaja.

            Pada awal tahun perkahwinan, suami yang buat kerja memasak dan dia tidak pernah merungut kerana dia memang gemar memasak. Saya tidak sampai hati melihat suami yang penat bekerja pula sibuk di dapur. Saya menyuarakan keinginan belajar memasak. Alhamdulillah, suami cukup sabar ada anak murid seperti saya. Cukup setahun belajar, saya telah mengambil alih dapur yang dahulu di monopoli oleh suami.

            Setelah ada anak, menjadi keutamaan tugas memasak kerana saya tidak suka anak makan makanan di kedai atau pembantu rumah yang masak. Sementalah memasak juga adalah satu cara terapi diri. Jika saya susah hati atau sedih, dapur adalah tempat yang saya berada lebih lama dari ruang lain di dalam rumah.


            Sesiapa yang mengenali rapat pasti sudah faham dengan perangai saya. Kalau saya masak hingga penuh meja pasti sudah arif yang saya sedang bersusah hati. Dari hobi memasak dan membuat kuih, ada kawan-kawan yang membuat tempahan seperti karipap frozen dan laksa penang. Pada masa yang sama saya amat gemar mengumpul resepi dari blog-blog makanan.

Berniaga di bulan Ramadan al-Mubarak

Teks dan foto : Rozie Wahid

Ramadan akan menjelma lagi dua bulan, saya perlu memulakan langkah seterusnya untuk menjadikan biz baru ini realiti. Segala kelengkapan membuat kuih tart telah tersedia. Saya pasakkan semangat dan kesungguhan dalam-dalam.

Dua minggu pertama saya membuat stok sample untuk diedarkan kepada agen-agen yang dilantik. Pada masa yang sama saya membuat stok untuk menanti bulan ramadan yang kian hampir. Order dari agen sudah mulai masuk dan pembuatan kuih tart semakin rancak saya jalankan bagi memenuhi setiap tempahan. Belum sempat saya iklankan di facebook atau instagram sudah pun tidak menang tangan.

            Bulan ramadan telah tiba, bersyukur juga perniagaan ini saya mulakan di rumah. Saya masih sempat untuk menyediakan juadah berbuka dan bersolat tarawih di rumah. Semua agen yang ada di tangan ketika itu seramai 16 orang namun, hanya separuh sahaja yang betul-betul aktif dan bergerak cergas. Saya melipatgandakan proses pembuatan kuih tart agar dapat memenuhi permintaan agen.

            Tiga hari sebelum hari raya saya anggarkan semua tempahan selesai diedarkan namun, Allah lebih mengetahui bila harus diberikan rezeki pada yang berhak. Saya mendapat order dari seberang tambak Johor dengan jumlah yang agak besar. Hati ingin menolak tetapi akal memberitahu, rezeki Allah jangan ditolak. Saya teruskan perjuangan untuk menyelesaikan tempahan terakhir sebelum menjelang hari raya. Alhamdulillah, syukur merasa lega bila stok bertukar tangan di KL Sentral. Tersenyum gembira kerana esok hari raya dan saya merancang petang raya baru balik ke kampung.

            Seusai berkemas di pagi raya, saya mendapat panggilan dari jiran mohon mendapatkan kuih tart. Dia ingin membawa balik ke Pakistan esok. Kesian bila saya fikirkan, hendak berikan stok di tangan hanya cukup untuk emak dan keluarga. Saya terus menguli dan membakar. Menghala pulang ke kampung saya serahkan stok kuih untuk jiran dan berdoa selamat sampai ke Pakistan.


            Tidak pernah saya duga begini rupanya para peniaga yang bertungkus lumus di bulan ramadan. Betul orang kata, bukan senang hendak senang.












Thursday, 26 November 2015

Lambaian Terakhir Andak

Teks dan foto : Rozie Wahid

‘Andak’ nama panggilan abang saya yang ke dua. Orangnya kurus tinggi, kulit sawo matang, hidung mancung terletak persis abah. Andak memang tampan, yang paling saya suka adalah senyuman andak.

Andak abang yang baik namun kenakalan terselah apabila bergaul dengan adik-adik. Dia rajin mengusik. Di mata mak, andak adalah pelindung apabila abah tiada di sisi. Cukup ada andak, mak pasti tidak takut duduk di rumah besarnya.

Andak dilahirkan cukup sifat dan sempurna kejadiannya namun ujian mendatang untuk mak abah dan kami apabila andak mendapat demam panas ketika berusia 9 tahun. 45 tahun yang dulu kedudukan rumah yang jauh dari bandar, kemudahan rumah sakit yang agak sukar untuk mak dan abah sampai dan ilmu perubatan yang kurang menyebabkan andak tidak dapat dirawat sebaiknya dan dia mengalami kekurangan cecair di dalam gegendang telinga sebelah kiri. Ia menyebabkan andak tidak dapat mengimbangi badan ketika  berdiri dan berjalan serta pendengaran agak kurang jelas.

Namun andak ditatang oleh kami seperti minyak yang penuh. Penuh dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Walaupun ketika muda, andak sering marah adik-adik yang suka menganggu dia menonton televisyen. Pasti adiknya itu tidak akan dapat gula-gula, ais cream atau Maggie yang dibeli sendiri di kedai pak Mat. Andak akan sengaja membuat adiknya kecur. Andak seorang pemain karom yang handal, ramai yang telah tewas di tangan andak. Tidak kurang juga andak suka mengejar adik-adik jika kami menyakitkan hatinya. Habis satu rumah dikejarnya.

Pada penghujung ramadhan, Andaklah orang yang paling sibuk. Membawa parang sambil berjalan walaupun tidak berapa stabil masuk ke kebun belakang rumah mencari buluh. Andak akan tersenyum puas apabila melihat adik-adik bersorak melihat pelita yang penuh di setiap ruang tanah depan rumah kami. Berlawan-lawan dengan pelita rumah jiran tetangga.

Terlalu banyak kenangan bersama andak. Melihat cara andak makan, melihat susuk tubuhnya berjalan, melihat dia tekun membuat bangku untuk mak, melihat dia mengutip durian di kebun belakang rumah, melihat dia mewarna lukisan. Andak adalah segalanya untuk mak.

Mak dan andak hanya tinggal berdua sahaja memandangkan semua adik beradik telah mempunyai keluarga sendiri. Mereka kami bawa tinggal di Damansara agar berdekatan dengan semua. Suatu hari ketika andak berusia 36 tahun, andak dimasukkan ke hospital selayang kerana diserang stroke. Selepas itu andak sudah tidak seceria dulu. Andak buang tongkat yang mak beri. Andak baling alat pendengaran yang mak letak di telinganya. Andak hanya akan duduk di biliknya mewarna buku lukisan sehinga letih. Andak akan berhenti rehat untuk makan dan tidur. Akhirnya berat badan andak bertambah dan andak diberitahu dia menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Walau begitu andak tetap tersenyum apabila kami menyapa. Setiap kali ramadhan andak masih ingin berpuasa sehingga mak tidak beritahu andak yang bulan itu bulan puasa. Andak sudah semakin kurus kerana kawalan makanan untuk penyakit kencing manis. Mak risau kerana andak tidak mampu berpuasa lagi. Andak juga amat rajin sembahyang. Mak sering memerhati jika andak solat, mak pasti menegur jika andak terlebih rakaat. Andak tidak menukar lagi tabiat suka membeli, pasti akan dikirim pada mak asam kecut, jeli, gula-gula, jagung rebus dan ais cream. Sesekali mak akan buatkan Maggie kari kegemaran andak.

Pada April 2014 andak tiba-tiba dikejarkan ke hospital kerana tersedak hingga sukar untuk bernafas. Petang itu kami mengelilingi katil andak, tubuh andak tidak bergerak lagi namun dadanya berombak perlahan. Puas kami usap, kami bisik memangil nama andak tetapi andak tidak membuka mata. Suasana suram menyelubungi kami sepanjang malam. Bacaan suci al-quran kami memperdengarkan di telinga andak. Mak membisikkan khalimah syahadah untuk andak ikut. Lelehan air mata andak jatuh apabila mak mengucapkan mak sayang andak, mak rindu andak, mak redha andak pergi. Mak kucup dahi dan pipi andak sepuasmya.

Keesokan pagi keadaan andak semakin kritikal, andak di sahkan meninggal dunia ketika usianya 52 tahun, pada 23 April 2014. Pemergian andak ditangisi oleh sesiapa pun yang mengenali andak kerana andak tiada ganti. Masih terbayang lambaian tangan andak bersama senyumannya yang seikhlas hati. Selamat jalan andak, insyaAllah kita akan bertemu lagi atas nama kasih sayang.




Booth bersama ibu tunggal

Teks :Rozie Wahid

Persatuan Ibu tunggal Ampang Wilayah sering menjalankan pelbagai aktiviti usahasama dengan Kementerian Wanita. Kami diberi peruntukan setiap tahun untuk mengadakan beberapa seminar motivasi bagi ibu dan anak. Selain itu kami juga diberi kemudahan oleh pihak DBKL untuk diberi tempat menyertai mana-mana kawasan sekitar yang mengadakan jualan. Kami juga mempunyai kumpulan marhaban yang boleh di panggil bagi majlis-majlis keraian.

Kebanyakan ibu tunggal akan digalakkan untuk menggunakan bakat yang ada bagi menjana pendapatan. Lebih dari 60% ahli kami adalah di kalangan ibu tunggal yang berusia 40an ke atas. Bangkit dari terduduk adalah sesuatu yang agak sukar tetapi bukan mustahil.

Saya sering membantu di booth ibu-ibu tunggal yang berniaga seperti menjual raga yang diperbuat dari surat khabar, pakaian dan tudung. Tidak kurang juga ada yang berniaga makanan seperti kuih muih, kerepek dan ikan pekasam. Bulan Ramadhan sering di nanti oleh mana-mana ahli yang berniaga di booth kerana pulangannya yang lumayan boleh membawa senyuman anak-anak. Mereka juga dibantu oleh anak-anak sendiri. Tugas kami sebagai AJK adalah mendapatkan tempat untuk mereka yang telah diperuntukkan atas tiket ibu tunggal. Kami juga memastikan tiada yang mengenakan bayaran pada mereka, jika tidak pasti ada yang mengambil kesempatan. Bantu membantu adalah sesuatu yang diasuh di dalam kelompok kami.


Antara pengalaman manis adalah dapat bersalam dengan Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah. Kenangan pahit adalah usikan dan jelingan masyarakat kerana kami membawa nama yang tiada wanita inginkan iaitu janda atau nama yang lebih manis, ibu tunggal.  

Menjadi Ahli Persatuan Ibu Tunggal

Teks : Rozie Wahid

Setahun berlalu arwah suami pergi menghadap Sang Pencipta namun saya masih lagi terawang-awang umpama layang-layang terputus tali.

Kakak sulong, kak June memberi cadangan supaya saya bergaul dengan masyarakat. Salah satu cadangannya adalah mendaftar diri di persatuan ibu tunggal. Saya faham niat baik beliau untuk saya berada di kalangan masyarakat yang menghadapi nasib yang lebih kurang sama. Saya bersetuju dan beliau mengenalkan saya kepada pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Ampang Wilayah.

Selepas sebulan saya bersama persatuan ini, saya telah dilantik menjadi AJK persatuan. Bermulalah kerja amal kami menolong semua ahli untuk bangkit dari kegagalan rumahtangga atau kematian pasangan. Tidak dilupakan anak-anak ahli juga diberi perhatian yang sama.

Setiap bulan pasti kami akan mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik. Terima kasih kepada pengerusi kami, kak Siti Zubaidah yang amat berdedikasi di dalam memegang amanah untuk mengemudi persatuan ini.

Semakin lama saya berada bersama mereka semakin saya merasa kuat untuk mengharungi hidup ini sendirian. Melihat kekuatan semangat mereka bersama aura positif yang mereka salurkan di kalangan ahli benar benar menyedarkan.


Di sini juga saya memahami kehilangan suami akibat kematian adalah tidak seteruk keadaannya berbanding mereka yang kehilangan suami akibat perceraian atau ditinggalkan begitu sahaja. Tinggi betul kemampuan wanita untuk menerima ujian dari Allah. Mereka orang yang terpilih. Kesiani bukan menghina, bantu bukan mengejek kerana ini bahagian mereka.

Perginya Cinta Hati Ke Dunia Abadi

Teks : Rozie Wahid

Setiap kali saya pandang wajah anak sulong, saya akan teringat pada suami yang tercinta. Kata orang kalau anak perempuan persis wajah ayahnya, sejuk.

Salah satu sebab utama kami pulang ke tanah air dulu adalah kerana suami inginkan rawatan dijalankan dengan lebih terperinci di sini. Setiap setahun sekali kami akan membuat ujian darah. Keputusan ujian darah ketika itu menunjukkan kesihatan suami tidak begitu baik. Oleh kerana doktor meminta kami untuk pulang bagi ujian lanjutan buah pinggang, kami mengambil keputusan untuk pulang dan menetap di Kuala Lumpur.

Pada bulan Oktober 1999, suami saya disahkan mengalami kerosakan di kedua-dua buah pinggang. Kami agak terkejut kerana suami amat mementingkan kesihatan, cuma suami adalah seorang perokok tegar dan itu juga salah satu puncanya kata doktor. Kami menerima dengan redha dan suami perlu menjalani rawatan dialysis. Sebulan rawatan dialysis seminggu sekali telah menjadi setiap selang sehari. Tubuhnya yang agak gempal semakin susut dan kurus kerana banyak berpantang dalam makanan dan minuman. Segalanya kena mengikut jadual doktor.

Hati isteri mana yang tidak runtun apabila melihat keadaan suami. Saya menawarkan diri untuk menderma satu buah pinggang saya kepada suami. Keputusan ujian keserasian saya lulus adalah berita yang amat gembira. Namun beberapa hari lagi tarikh pembedahan akan dijalankan, suami dikejarkan ke hospital. Doktor tidak pasti dengan keadaan suami dan katanya pembedahan adalah tidak sesuai ketika itu. Senyuman kami terhenti.

Pada ketika itu juga saya disahkan hamil. Kami menjadi serba salah dengan keadaan kesihatan suami dan berita kehamilan saya. Adakah perlu bergembira atau bersedih. Akhirnya kami hanya terdiam. Saya berjumpa dengan doktor gyne bagi menjalani ujian kandungan sama ada selamat untuk diteruskan atau akan menjejaskan kesihatan fetus. Seminggu menanti dengan gelisah ujian yang dihantar ke singapura. Akhirnya kami mendapat perkhabaran dari doktor bahawa fetus tidak terjejas dan boleh diteruskan.

Tahap kesihatan suami semakin menurun dan hospital menjadi rumah ke dua kami. Suami sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaannya. Dia mula membuat persediaan bagi menyambut kehadiran anak pertama kami. Namun, ketika usia kehamilan mencecah 6 bulan, suami telah dikejarkan ke hospital lagi. Kali ini sedikit berbeza kerana tanda-tanda kegagalan buah pinggang bukan lagi puncanya. Doktor membuat beberapa ujian lagi dan selepas beberapa hari di situ, doktor memanggil saya. Hali lintar menerjah ke saraf otak. Keputusan ujian memberi bacaan bahawa suami mengidap kanser. Doktor tidak boleh memberikan kata putus jenis kanser yang dihadapi, yang pasti virus kanser telah mula merebak ke hati.

Alhamdulillah saya bersalin dengan selamat. Dalam kerisauan melihat keadaan suami, saya terbuai melihat bayi yang comel di pangkuan. Suami adalah insan yang amat gembira apabila mendapat bayi perempuan. Hilang semua rasa sakit dicucuk jarum besar dialysis apabila pulang ke rumah menatap wajah anak.

Kami tidak pernah berputus asa untuk mencari punca virus kanser. Doktor pakar di Malaysia semua telah kami cuba dan akhirnya doktor telah mencadangkan kami ke Singapura untuk berjumpa pakar kanser di sana. Kami pergi untuk menjalani beberapa kali biaopsi bagi mencari jenis kanser apakah yang sedang menyerang dan apakah puncanya serta jalan penyelesaian. Berulang alik beberapa kali ke singapura dan akhirnya Dr Benjamin dari UHS memberitahu bahawa suami saya mengidap kanser darah di dalam tulang sum-sum. Beliau memberitahu suami hanya ada 6 bulan sahaja untuk hidup. Perkara pertama yang terkeluar dari mulut suami ketika itu adalah ‘baby kita’. Ya, baby kami baru berusia 7 bulan dan otak saya beku untuk memikirkan apa-apa.

Dua bulan selepas itu, suami harus ke singapura lagi untuk ujian selanjutnya. Ya, Oktober 2001 dan baby kami berusia 9 bulan. Sudah pandai memanggil ‘ma’dan ‘pa’. Suami mencium baby seolah tidak puas dan sebelum masuk ke kereta dia berpusing lagi untuk mencium baby. Kelihatan air matanya hanya di tubir. Itulah kali terakhir dia menatap wajah anaknya dan dia pergi menghadap Penciptanya di katil hospital UHS, Singapura.

Hilang semangat seketika dan terasa tubuh saya di awangan apabila doktor mengistiharkan suami telah pergi. Saya terpinga-pinga. Saya faham yang kami telah banyak kali berbual mengenai ini tetapi segalanya tidak sama perasaannya apabila ketika waktu yang sebenar telah tiba. Demi anak kami yang masih baby lagi saya kumpul semangat untuk meneruskan hidup tanpa suami. Saya tidak terkata apa-apa bila cinta kami dia bawa bersama, hanya rindu peneman meniti hidup. Selamat tinggal cinta hatiku.

14 tahun telah berlalu namun rindu dan cinta ini masih milik dia. Moga dia damai di sana.

Siapalah saya untuk mempersoalkan takdir. 

Wednesday, 25 November 2015

Food testing

Teks dan foto : Rozie Wahid

Bekas yang siap diisi dengan tart pelbagai bentuk untuk testing telah saya aturkan di atas meja. Setiap bekas sudah juga saya tandakan dengan A, B, C dan D.

Saya hanya bawa tart yang saya rasa terbaik untuk dipersembahkan kepada beberapa orang keluarga dan teman rapat. Saya amat memerlukan beberapa komen dan cadangan untuk penambahbaikkan sebelum saya menetapkan tart yang mana sedap, disukai ramai dan bakal laris jualannya.


Waktu untuk food testing bermula. Agak kelakar apabila melihat air muka setiap orang yang mengambil tart dan merasa mengikut turutan. Selepas pelbagai komen, majoriti memberikan positif serta tumbs up pada bekas C lulus untuk memasuki pasaran tart.


Peringkat 'try and error'

Teks dan foto : Rozie Wahid

Di hening pagi penghulu hari, saya membuat rutin ritual seperti biasa. Usai BAD, saya keluar menghala ke bakery untuk mendapatkan bekalan bagi percubaan tart lagi. Kali ini percubaan saya anggarkan adalah percubaan yang terakhir. Saya mencari cara mudah yang boleh dibuat oleh bakal pekerja pekerja saya tanpa memerlukan saya sentiasa membuatnya sendiri. Kata Puan guru Ainon Mohd, sampai waktu jadikan pekerja sebagai mesin ATM dan tugas saya adalah mengarah ke biz growth.


Alhamdulillah berkat percubaan demi percubaan yang telah dilakukan, sewaktu mengadun tepung, hati sudah mulai berkata memang resepi ini yang saya cari selama ini.

Usai dibakar, saya hulurkan pada emak untuk merasmikan ujian rasa seperti biasa. Pada mulanya emak menolak kerana sudah terlalu banyak merasa tart dua minggu ini. Namun, mata emak tidak berkedip memandang rupa paras tart yang berada di telapak tangannya. Malah dihampirkan tart itu sejengkal dari matanya, didekatkan pula ke hidung untuk mengambil baunya lalu dimasukkan ke dalam mulut.

Jantung saya berdegup kencang memandang setiap gerak geri emak. Selangsung gigitan pertama mata emak memandang tajam ke wajah saya. Tidak sabar menanti kata kata yang bakal terhembur dari mulut emak. Saya lepaskan keluhan apabila emak tidak memberi apa apa reaksi setelah habis ditelan sisa tart di dalam mulut.



Tiba tiba emak menganggukkan kepala dan bersuara, yang keluar dari mulut emak hanya sepatah iaitu ‘sedap’. Lah, tu je ke.





Perjalanan bermula

Teks : Rozie Wahid

Saya benar-benar risau akan kelas ABDR yang saya terabaikan. Terasa bersalah pada Puan mentor Masayu Ahmad. Namun, saya tahan hati supaya dapat menghabiskan apa yang di tangan dahulu.

Bersandarkan idea yang dicetuskan untuk menjalani perniagaan food industry Tart and Cookies, saya mula membeli pekakas utama. Teringat kata-kata Puan mentor Masayu Ahmad untuk menggunakan nama sendiri sebagai penjenamaan lalu saya mendaftar di SSM syarikat persorangan atas nama RW Food Industry.

Memang agak menghairankan kepada sesiapa yang mengenali saya dengan rapat apabila mendapat tahu bahawa saya akan bermain dengan tepung dan oven. Seumur hidup saya tidak pernah memegang oven untuk memasak apa sahaja apatah lagi tart dan biskut, persoalannya di sini, adakah saya mampu melakukanya?

Entah kenapa Teknik BAD yang diajar oleh Cik puan IA dan Cik puan Hajar Abdullah amat terkesan. Saya tidak rasa gentar dan gusar, saya hanya jalan terus.

Dua minggu saya membuat percubaan demi percubaan. Namun, saya masih lagi belum mendapat rasa dan rupa tart yang terbeli oleh hati saya. Pelbagai resepi yang saya dapatkan dari mak cik google, keluarga dan teman teman namun, semua tidak boleh mencapai tahap kepuasan hati saya.
Sekali lagi saya gunakan Teknik BAD dan saya selang selikan dengan tip tip dari Dr Azizan Osman yang saya ceduk dari fb beliau.


Mesti ada yang tertanya apakah Teknik BAD itu, jika berkehendak sila gali di fb Cik puan Insyirah (FB: Che Insyirah) atau Cik puan Hajar Abdullah (FB : Hajar Abdullah) atau google ‘Teknik BAD oleh IA’. Mereka adalah insan insan hebat yang menyebarkan betapa penting kebergantungan pada Allah SWT.

Pengalaman Berniaga

Teks : Rozie Wahid

Saya sedang membuat check list.

Membuat keputusan untuk mengambil jalan ini, sudah.

Mengumpul semangat dari orang yang membawa aura positif, sudah.

Saya mula membuat langkah pertama yang diajar oleh Puan guru Ainon Mohd iaitu Window Shopping Idea. Satu persatu produk saya tenung dan renung sedalamnya dari setiap segi yang bukan sahaja bersesuaian malah saya harus berkemampuan untuk memikulnya bersendirian pada permulaan.
Homework dibuat pada setiap produk. Kadang kala terasa buntu kerana tiada jawapan yang saya dapat putuskan. Saya mula mengurangkan aktiviti fb dan yang sewaktu dengannya, hanya untuk memberi ruang pada diri sendiri.

Hampir 3 bulan saya kukuhkan Teknik BAD (nanti saya ceritakan tentang BAD), akhirnya saya dapat jawapan untuk melakukan biz yang bagaimana. Kali ini biz yang saya bakal jalankan amat berbeza dengan biz yang terdahulu. Walaupun ada suara-suara kecil mengejek nilaian projek ini agak rendah berbanding beliau namun saya tetap teruskan. Saya bermula sendirian. Sayalah the key person. Saya juga the funder.

Puan guru Ainon Mohd sering menekankan supaya sebagai peniaga baharu yang perlu saya buat adalah mengeluarkan modal tidak lebih dari 2 ribu. Beliau juga mengingkatkan supaya memulakannya dari rumah. Ya, saya perlu menyusun atur rancangan.

Saya akan kongsikan di entri akan datang tentang produk syarikat saya.


Thursday, 30 July 2015

Window Shopping Idea

Teks : Rozie Wahid

Sudah beberapa bulan ini saya dalam delima. Entah apa yang saya fikirkan, segalanya berselirat di dalam benak rasa. Saya perlu membuat pilihan sama ada hendak dianjur ke mana hala tuju hidup. Waktu semakin suntuk namun untuk merubah tiada istilah terlambat. Lalu saya pacakkan impian yang telah lama saya pendam. Saya perlu melangkah.

Bila saya utarakan niat untuk berniaga, ramai yang di sekeliling bertanya. Tidak cukup lagikah perniagaan yang sedia ada. Tidak cukup lagikah saya sebagai pemegang AP kobis. Tidak cukup lagikah projek baru yang sedang mengalir ke dalam syarikat sekarang. Tidak cukup sibuk lagikah diri ini hingga ingin menambah kesibukan?

Jawapan saya : Saya impikan berbuat sesuatu yang boleh memberikan kepuasan. Sesuatu yang saya usahakan sendiri. Saya ingin memulakan dari Zero ke countless. Saya ingin mencabar diri sendiri.

Jadi, apa yang saya perlu lakukan?

Kata-kata dari Puan Guru Ainon Mohd yang bijaksana lagi baik hati menjadi pemangkin. Setiap hari saya menjadikan satu rutin untuk membaca segala ilmu yang dicurah. Salah satunya ialah sebelum hendak memilih biz apa yang bakal kita buat, kita perlu membuat window shopping idea.

Bermulalah window shopping idea di media social. Saya selongkar satu demi satu yang mana betul-betul idea yang boleh saya terima. Bukan mudah sebenarnya window shopping idea.


Saya sambung bercerita di entri seterusnya. 

Wednesday, 28 January 2015

Amnah Syaffiyah (Bahagian 3)

Teks dan foto : Rozie Wahid

Matanya yang sememang sudah kecil makin dikecilkan apabila bilah-bilah cahaya matahari mengena wajahnya yang polos.
Saya bertanya, “Amnah buat apa dekat situ?”
“Amnah nak pergi raya tapi semua orang belum siap, lambat betul.” Jawab Amnah sambil memuncungkan mulutnya. Kami berkumpul di homestay, Batu Pahat bagi menyambut  Hari Raya Aidilfitri 2013.

Usia Amnah sudah pun menganjak 4 tahun ketika itu. Kelincahannya sering mendapat perhatian. Namun pagi itu saya terpandang sesuatu yang pelik pada Amnah. Kenapa wajahnya ada kesan biru lebam dari dahi hingga ke hidung. Terhantuk kata ibunya ketika saya bertanya. Mereka akan bawa Amnah ke hospital seusai sambutan hari raya nanti.

Panggilan telefon yang saya terima dari ibu Amnah pagi itu amat mengejutkan saya. Amnah dimasukkan ke DEMC, Shah Alam. Tanpa membuang masa saya terus bergegas ke sana. Dalam perjalanan saya hanya terbayangkan keadaan Amnah yang lemah terbaring di atas katil hospital. Rasa sebak menular ke seluruh ruang hati.

Tangan saya sudah hampir memegang tombol pintu tetapi suasana riuh di dalam bilik ward menghairankan saya. Laju sahaja kaki saya melangkah ke dalam kerana hati tidak sabar berjumpa Amnah. Saya hanya dapat menggelengkan kepala ketika mata terpandang Amnah yang sedang turun naik katil, sedang ibunya bising memarahi. Rupanya Amnah masih aktif dan sukar untuk duduk diam.

 
     
Apa yang mengejutkan saya adalah keadaan wajah Amnah yang semakin hitam kebiruan. Menurut kata ibunya, Amnah telah didiagnosis menghidap sakit yang dinamakan Idiopatik Trombositopenia Purpura (ITP). Amnah ditukarkan ke PPUM untuk mendapatkan rawatan lanjut dari doktor pakar kanak-kanak. Apa itu penyakit ITP? Jari jemari saya mula google untuk mencari jawapan.

ITP adalah suatu penyakit pembekuan darah dan darah Amnah tidak mempunyai platelet yang cukup. Jika jumlah bacaan normal adalah 150 juta per mililiter darah tetapi paras bacaan darah Amnah hanya kiraan 2 – 4 sahaja. Amnah mempunyai jumlah platelet yang sangat sedikit dan akan mudah mengalami perdarahan yang sangat lama apabila mengalami kecederaan. Doktor pakar juga beritahu yang Amnah ditahap kronik. Penyebab penyakit ini masih belum dikenal pasti. Amnah segera diberikan ubat untuk membekukan darah, namun komplikasi ubat itu menyebabkan berat Amnah semakin naik hingga Amnah sendiri tidak selesa dengan keadaan dirinya.

    
Segalanya berubah tiba-tiba, siapa sangka Amnah mendapat penyakit yang agak asing bagi kami. Besar betul ujian yang Allah berikan pada ibu ayahnya. Kami tertanya-tanya tidak ada jalan untuk Amnah kembali sihat. Doktor hanya memberi beberapa cadangan iaitu pemeriksaan darah melalui pemeriksaan sum-sum tulang belakang. Selain itu perlu mengurangi produksi antibodi dan destruksi trombosit, serta meningkatkan dan mempertahankan jumlah trombosit.

Doktor pakar mulai memberi amaran agar Amnah tidak melakukan aktiviti lasak yang boleh mengakibatkan lebam atau berdarah. Doktor juga memberi bayangan keadaan Amnah dan kemungkinan yang bakal berlaku.

Menitis air mata saya apabila memandang Amnah yang aktif tanpa duduk diam. Apalah yang dia tahu tentang keadaan dirinya. Dia hanya anak kecil yang tidak tahu apa-apa selain dunia kanak-kanaknya. Mata saya berkalih pada wajah ibunya yang sayu, namun dalam kepayahan ibu harus kuat di depan anak. Adik saya mohon kami semua memanggil Amnah dengan nama Syaffiyah kerana nama itu bermakna penawar. Moga setiap kali kami memanggil namanya adalah berserta doa agar Allah memberi penawar untuk penyakit yang dialami oleh tubuh kecil itu. Ibu terpaksa memberhentikan segala akiviti di sekolah seperti tekwando untuk mengawal keadaan tubuhnya yang mudah lebam. 

Melihat tubuh Syaffiyah yang mudah lebam kerana dia terlalu aktif. Melihat juga dia sering mengadu sakit kepala, lenguh badan dan loya akibat dari simptom penyakitnya benar benar menyayat hati seorang ibu. Seperti biasa ibu melayan sahaja kerenah anak. Selagi ada hayat, ibu akan sentiasa berada di samping Syaffiyah. Memastikan Syaffiyah tidak keseorangan mengharunginya.
  
Ibunya ingin selalu berada di samping Syaffiyah ketika Syaffiyah melangkah ke sekolah, ke Universiti, ketika hari pertama Syaffiyah bekerja, ketika Syaffiyah menjadi raja sehari. Ibu ingin mendandan Syaffiyah pada hari pernikahanya, ibu ingin merangkul cucunya. Namun, persoalannya adakah perancangan ibu dan perancangan Allah selari. Ibunya sentiasa berdoa agar dia mampu berbuat semua itu demi untuk satu satunya anak perempuan yang dikasihi. Moga Syaffiyah cepat sembuh dan membesar dengan sihat. Aamiin ya rabbal'alamin.


                        

Amnah Syaffiyah (Bahagian 2)

Teks dan foto : Rozie Wahid

Ibunya tahu akan seluruh kehidupan, kegembiraan dan kedukaan Amnah.

Selain dari meminati Shizuka, Amnah paling gemar dengan kain pelikat. Bukan kain pelikat biasa tetapi kain pelikat ayahnya. Adalah lebih baik jika kain pelikat itu belum dibasuh. Kata Amnah kalau dia merindui ayahnya pasti boleh mengambil bau ayah dari kain pelikat itu. Ia juga dijadikan selimut, penat aje ibu beli selimut yang cantik untuknya kerana kain pelikat ayah juga jadi pilihan.

Ibu tidak pernah membiarkan Amnah sendirian, lalu ibu sering melayan sahaja soalan yang dilontarkan. Kebanyakan Amnah sudah mengetahui jawapan yang diberi kepada ibu kerana sengaja ingin membuat ibu berasa geram.
Contohnya, Amnah gemar makan ayam goreng (terpengaruh dengan rancang tv upin dan ipin).
Amnah: Ibu, ayam ni tinggal di laut atau di darat?
Ibu       : Mestilah di darat. Hish… Amnah ni kan.
Bila ibu mulai bising, terkekek dia mentertawakan ibunya.

Selain itu jika Amnah berasa marah atau geram dengan sesiapa, dia akan mengeraskan badannya serta mengeluarkan bunyi ‘Gerrrrr’. Tapi kalau lagi geram dia akan membuat tendangan dan tumbukan ke angin tanpa orang yang membuat dia marah terlihat perbuatannya (Amnah mengikuti kelas tekwando untuk setahun). Amnah nampak comel ketika buat begitu dan sesiapa pun akan terhibur dengan keletahnya. 
 

Setiap kali saya bertemu Amnah pasti dia ingin memperlihatkan pada saya yang dia seorang yang rajin belajar. Sememangnya Amnah seorang yang bijak, dia pandai menulis dan membaca. Saya tidak risau jika tahun hadapan Amnah pergi ke sekolah untuk tahun 1. Saya pasti Amnah akan menjadi anak yang pandai.

Fizikal Amnah sedikit berbeza dari rakan sebayanya. Usia Amnah sekarang adalah 6 tahun tetapi ketinggiannya seperti kanak-kanak berusia 7 atau 8 tahun. Berat badannya pula agak melebihi sejak bayi lagi. Ketika itu saya sangka berat badannya menjadi begitu kerana dia bayi yang terhasil dari rawatan yang diambil oleh ibunya dengan suntikan yang banyak untuk capai kehamilan. Amnah mengambil pemakanan yang biasa, tidak berlebihan. Hanya pengambilan susu sahaja yang agak banyak dan dalam kotak fikiran saya, itu juga salah satu penyebab kenaikan berat badan. Namun, saya sering berdoa agar Amnah sihat tubuh badan walaupun dengan keadaan berat badan yang tidak seimbang.

Sangkaan saya meleset, nantilah saya akan ceritakan lagi di entri seterusnya.

Bila Amnah Ada Angan-angan (Bahagian 1)

Teks dan foto : Rozie Wahid dan Google

Amnah Syaffiyah nama diberi tika cahaya mata kedua adik saya selamat lahir ke dunia. Kelahiran bayi comel ini adalah kelahiran yang dinanti. Amnah maksudnya kelembutan dan Syaffiyah pula maksudnya penawar.

Pertama kali saya mendengar kes kemandulan selepas kelahiran bila diberitahu oleh adik. Dia mengalami kesukaran hamil selepas mendapat anak sulong. Namun, beliau tidak mengalami kemandulan selepas kelahiran. Menurut doktor sakit puan yang merawatnya ketika itu, punca sukar hamil kerana kilang telur malas. Akhirnya beliau ditakdirkan hamil selepas menjalani rawatan yang diaturkan oleh pihak LPPKN.

Amnah membesar dengan baik seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya. Kasih saya tertumpah untuk bayi Amnah sejak kali pertama kami berpandangan mata. Terlalu banyak kisah menarik tentang Amnah yang ingin saya kongsi.

  
          
Selain dari nama sebenarnya, dia juga mempunyai nama samaran yang ibunya berikan iaitu ‘Amnah Shizuka’.

“Kenapa macam nama orang Jepun aje?” Tanya saya pada ibunya.
“Amnah kata dia nak cantik macam Shizuka Doremon tapi perangai sehebat Gian.” Jawab ibunya.
“Gian? Siapa pulak tu?” Soal saya kembali.
“Gian tu kawan Doremon juga,” terang ibunya.
Mengekek saya mendengar cerita Amnah yang berangan ingin menjadi Shizuka.


   
Bila saya pulang ke rumah, saya google untuk mencari foto Shizuka dan Gian. Lagi sekali ligat kepala saya berfikir, atas sebab apa Amnah dikaitkan dengan Shizuka dan Gian. Amnah dilahirkan dengan rambut yang agak lebat dan keriting halus. Amnah inginkan rambut yang lurus dan kerana itu dia impikan mempunyai rambut seperti Shizuka. Ibu sering membawa Amnah ke salun rambut untuk mendapatkan rawatan meluruskan rambut demi mengembirakan hati Amnah yang gemar bergaya. Namun, gaya Amnah yang agak lasak itu membuatkan ibunya teringatkan karektor Gian.

Amnah menggemari warna biru dan dengan suka beraksi lasak menyebabkan ibunya cuba menerapkan ciri-ciri keperempuanan. Ibu membeli keperluan seperti baju, beg, hiasan rambut dan pakaian berwarna pink. Amnah anak yang baik dan menurut kata. Ibu bijak mendidik walaupun sifat kasar Amnah seperti kanak-kanak lelaki kadang kala kelihatan juga.


Amnah gemar juga bergaul dan bermain dengan abangnya. Gaya abang berpakaian dan bercakap menyebabkan Amnah suka tetapi dia lebih tersangkut hati pada kecantikan Shizuka. Ibu membina angan-angan Amnah dengan sogokan barang mainan masak masak. Tidak lupa juga ibu mencalitkan gincu bibir sekali sekala ke bibir kecil Amnah hanya untuk mengingatkan kejadiannya. Tersipu sipu sambil memuncungkan bibirnya di hadapan cermin, betapa Amnah gembira menjadi cantik, secantik Shizuka.

Ada lagi cerita tentang Amnah Syaffiyah di entri selanjutnya.

Nilai Buku

Teks dan foto : Rozie Wahid

Kejadian bencana banjir baru-baru ini mengingatkan saya erti kehilangan. Apabila membaca di laman sosial muka buku, berita salah seorang tokoh yang saya hormati menerima dengan tenang ketika kehilangan 1000 buah bukunya yang basah lencun, benar benar memberi kesedaran pada saya. Saya ingin berkongsi sedikit tentang kehilangan kecil saya berbanding mereka di pasca banjir 2014.

Sepanjang kehidupan di Guangzhou, China bersama suami, saat yang paling saya tunggu-tunggu adalah 6 bulan sekali apabila hampir tamat tempoh multiple visa. Saya dan suami perlu perbaharuinya. Ketika itu Hong Kong bukanlah sebahagian dari China, jadi kami harus keluar dari Guangzhou untuk masuk ke Hong Kong dan proses perbaharui visa akan mengambil masa beberapa jam sahaja. 

Jika kami ingin menginap di Hong kong, kami akan tinggal di hotel berdekatan dengan pejabat imigresen Mong Kok. Aktiviti yang saya gemari sementara menunggu visa siap adalah pergi menghabiskan masa di kedai buku. Ada sebuah kedai buku yang menjual buku 2nd hand. Buku novel bahasa inggeris yang dijual dengan harga yang murah akan saya borong sebanyak yang mungkin untuk stok bacaan beberapa bulan.

Buku adalah teman setia saya kerana itu juga salah satu syarat jika suami mahukan saya menjadi suri rumah tangga, dia perlu menyediakan peruntukkan membeli buku. Tidak ramai yang boleh bertutur di dalam bahasa inggeris di Guangzhou ketika itu, untuk mendapatkan buku novel berbahasa inggeris amat sukar. Saya sukakan genre horror, pembunuhan dan cerita ala-ala Law and Order series.

Minat membaca tidak pernah berhenti bila saya pulang menetap di tanah air. Semua buku-buku yang menjadi koleksi semasa di Guangzhou terpaksa saya lepaskan kepada rakan merangkap guru muzik di sana kerana kos untuk membawa pulang agak mahal.

Di Kuala Lumpur saya meneruskan minat membaca. Ketika itu saya masih belum mengubah gaya mencari bahan bacaan. Suami melayan sahaja minat saya dan flea market di aras bawah AmCorp Mall, Petaling Jaya ada menjual buku-buku 2nd hand setiap hari ahad. Di situ saya mula memilih buku yang lebih dekat dengan jiwa kerana banyak pilihan berbanding di Hong Kong dahulu. Buku novel bahasa inggeris masih menjadi pilihan sehingga tahun 2002. Namun, saya terpanggil untuk membaca novel bahasa melayu dari situ pula saya mula membeli tanpa memilih siapa penulisnya kerana belum tahu yang mana gaya penulisan yang lebih saya gemari.

Peristiwa yang amat meruntun hati saya apabila menyaksikan kemusnahan lebih 60 buah buku koleksi saya dimakan anai-anai. Tidak pernah saya jangka buku yang tersusun rapi di atas rak rupanya di belakang almari telah habis di makan serangga perosak. Oleh kerana saya menyusun buku secara berlapis dan bertingkat, lapisan di belakang sekali sebanyak empat rak yang menjadi mangsa.
     



Air mata jatuh menitis, bergetar jiwa, menggigil tangan tika menyentuh buku-buku. Tanpa menghiraukan rasa sakit digigit serangga itu, pantas jari jemari mencapai setiap buku dengan harapan ada yang dapat diselamatkan.. Saya amat menghormati buku namun kali ini saya dipaksa dan terpaksa membuang buku-buku yang telah rosak dan musnah. Hati pedih atas kehilangan, rela dalam keterpaksaan.